Oleh Syaza Wardina
11 Mac 2024, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyaksikan sesi tandatangan Pengesahan Rukyah Hilal 1445H/2024M Negeri Perlis di Masjid al-Hussain, Kuala Perlis, semalam.

Kuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan kempen “Jom Ramadan di Perlis” yang diadakan di Masjid al-Hussain, Kuala Perlis, semalam.

Pelancaran tersebut diadakan sempena Majlis Cerapan Rukyah Hilal Ramadan 1445 Hijrah bersamaan dengan 2024 Masihi di Menara Pandang masjid berkenaan yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Negeri Perlis.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua baginda berdua, iaitu Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Berdasarkan video yang dikongsikan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis di TikTok, jabatan tersebut menyatakan bahawa Perlis ialah negeri yang makmur dengan program ilmu.

“Pada tahun ini, kami ingin mengajak anda datang ke Perlis untuk memenuhi Ramadan anda dengan aktiviti keilmuan dan kerohanian yang kami sediakan.

“Iftar dan sahur juga akan disediakan,” kata jabatan tersebut.

Berdasarkan perkongsian video tersebut, Jabatan Mufti Negeri Perlis menjelaskan bahawa pada setiap hari sepanjang Ramadan akan diadakan pelbagai aktiviti keilmuan dan kerohanian bertempat di Masjid Alwi, Kangar.

“Pada pukul 3.00 pagi akan diadakan qiamullail Ramadan hingga waktu sahur, juga kelas tadabur al-Quran bagi surah dan ayat pilihan selepas solat subuh.

“Kuliah untuk Muslimah akan diadakan pada waktu pagi,” jelas Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Tambahnya, antara pengisian lain termasuklah Durus Ramadan selepas zuhur, halaqah tajwid selepas asar dan kuliah santai bagi mengisi ruang sebelum iftar.

Pada masa yang sama, jabatan tersebut memberitahu bahawa waktu selepas tarawih akan diiringi dengan tazkirah ringkas.

Atur cara program ilmu ini boleh dirujuk di media sosial rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.