Oleh fatkhurrozak
9 Mac 2024, 12:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pasir Gudang – Penganjuran Minggu Ukhuwah Sekolah di Sekolah Agama Kongkong Laut (SAKL) baru-baru ini memberikan pendedahan awal kepada murid baharu tentang keperluan mempelajari agama Islam, al-Quran, hadis dan tulisan Jawi.

Pemahaman dan pelaksanaan nilai keagamaan dalam rutin seharian murid di sekolah membantu mereka menjadi orang yang lebih berdisiplin di samping meletakkan iman dan Islam pada kedudukan teratas dalam jiwa mereka.

Pengarah Program, Ustaz Wan Muhammad Syafiq Danial Ruzi berkata, Minggu Ukhuwah Sekolah merupakan medan pendedahan awal untuk murid baharu mengenal asas dalam agama Islam sebelum berpindah ke arah pembelajaran agama yang lebih terperinci.

“Pelibatan ibu bapa dalam program ini adalah untuk memperkenalkan persekitaran sekolah anak mereka.

“Hal ini sekali gus memberikan ruang kepada guru dan ibu bapa merapatkan silaturahim antara satu dengan lain dan bekerjasama dalam usaha membangunkan ekosistem pendidikan yang terbaik dari segi akademik dan rohani,” katanya.

Tambah beliau, “Sepanjang program, murid sentiasa diajarkan tentang sifat syukur dan sentiasa memuji kebesaran Allah Taala sekali gus memahami pentingnya mempelajari pendidikan agama dan tulisan jawi.”

Minggu Ukhuwah Sekolah di Sekolah Agama Kongkong Laut (SAKL) memberikan pendedahan awal kepada murid baharu tentang pendidikan Islam dan tulisan Jawi.

Sementara itu, Guru Besar SAKL, Ustazah Aishah Ahmad menzahirkan rasa syukur dan bangga atas inisiatif pendidik khususnya dalam usaha menyemai nilai keagamaan dan kemanusiaan dalam diri murid-murid.

Menurut beliau, hasrat untuk sentiasa memberikan yang terbaik kepada murid dalam akademik perlu diseimbangkan dengan menanam nilai murni dan sentuhan rohani dalam pendidikan.

“Keseimbangan inilah yang akan menjadikan murid sebagai insan yang holistik dan mampu memberikan manfaat kepada masyarakat suatu hari nanti,” ujarnya.

Tambahnya lagi, peranan pendidik untuk memberikan pembelajaran agama yang baik akan menjadi sinar kepada ummah dan segala ilmu yang diperoleh di sekolah akan dimanfaatkan sepenuhnya sekali gus menjadikan mereka seseorang yang berakhlak mulia, berilmu tinggi, bermanfaat kepada masyarakat dan sentiasa menjadikan agama sebagai keutamaan untuk hidup bahagia di dunia dan akhirat kelak.

Sebagai info, SAKL yang terletak di Kampung Kongkong Laut merupakan kawasan pendalaman dan perkampungan nelayan di persisiran Sungai Johor. Kebanyakan masyarakat bekerja sebagai nelayan, serta ada yang mengusahakan perladangan sawit dan perniagaan hasil laut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.