Oleh Syaza Wardina
8 Mac 2024, 22:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelaksanaan Sekolah Integrasi Perlis (SIPs) menekankan aspek penguasaan al-Quran dengan menjadikan Tafsir al-Quran Faizuddin sebagai rujukan utama.

SIPs merangkumi kurikulum Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) dan kokurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa al-Quran diturunkan untuk dihayati dalam kehidupan seharian.

“Sehubungan dengan itu, kita hendaklah memastikan bibir dan lidah sentiasa dibasahi dengan al-Quran,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar, semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 yang berlangsung di Dewan Warisan, Kangar, semalam.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra, “Seminar berkaitan dengan al-Quran, tafsir, ilmu tajwid, dan sebagainya turut dilaksanakan demi menambah ilmu dan kecintaan kepada al-Quran.”

“Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui Guru Majlis turut melaksanakan Kelas al-Quran Majlis yang dilaksanakan di masjid, surau dan institusi terpilih,” titah baginda.

Pada majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap yang Dipertua MAIPs berkenan menyampaikan hadiah kepada Johan Qari yang disandang oleh Khalil Khusairi Zainol; Naib Johan, Muhammad Anas Abdul Hadi; dan tempat ketiga, Muhammad Afif Mohd Zaki.

Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah pula turut berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada Johan Qariah yang dimenangi oleh Norsyafirah Jusoh; tempat kedua, Siti Aishah Md Arif; dan tempat ketiga, Nuradilah Azdi.

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perlis merupakan acara rasmi negeri dalam memartabatkan syiar al-Quran serta meningkatkan pengetahuan dan menanamkan rasa cinta masyarakat Islam terhadap al-Quran.

Program ini dianjurkan oleh agensi agama Islam Perlis yang diterajui MAIPs, Jabatan Mufti Negeri Perlis, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang bertanggungjawab memberikan kefahaman dan kesedaran yang betul kepada warga negeri ini agar menghayati al-Quran.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan ucapan selamat menyambut bulan suci Ramadan dan selamat menunaikan ibadat puasa kepada seluruh rakyat Perlis yang beragama Islam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.