18 Februari 2024, 23:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Lapan resolusi penting akan diajukan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Menggubal Undang-undang Islam dalam usaha memperkukuh kedudukan institusi mahkamah syariah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan membacakan lapan resolusi penting Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran, semalam.

Resolusi tersebut dibacakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan pada penutup Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah bertempat di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Quran, semalam.

Lapan resolusi forum tersebut ialah menyedari pertembungan dan pertindanan kuasa dalam menggubal undang-undang mengikut batasan sama ada Parlimen atau Badan Perundangan Negeri, bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah serta mencari jalan penyelesaian bagi mencari titik keharmonian antara undang-undang sivil dan undang-undang syariah agar saling melengkapi dan tiada pertindihan.

Justeru, kajian kewajaran penggabungan institusi kehakiman, iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah dicadang untuk dilaksanakan dengan dikenali sebagai Mahkamah Malaysia.

Resolusi kedua forum tersebut adalah dengan meluaskan dan memartabatkan undang-undang syariah serta bidang kuasa mahkamah syariah menerusi pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi mengelakkan perbezaan tafsiran dan peruntukan sedia ada dicabar.

Resolusi ketiga ialah merangka pelan tindakan strategik, tuntas dan efektif dalam usaha meningkatkan kesedaran tentang peri penting budaya cakna perlembagaan dan undang-undang khasnya undang-undang syariah agar masyarakat terbentuk berdasarkan disiplin ilmu yang benar, bukan berlandaskan sentimen emosi.

Resolusi keempat forum pula adalah dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan Bersama-sama pimpinan parti politik dan pimpinan masyarakat di Malaysia bagi tujuan penyatuan hati dalam usaha memartabatkan undang-undang syariah agar kekal utuh di bawah Perlembagaan Persekutuan yang merupakan sumber perundangan tertinggi di negara serta menjamin kedaulatan undang-undang Islam bagi mencari titik penyelesaian secara musyawarah tanpa prejudis dan meraikan perbezaan pandangan tanpa menjejaskan ukhuwah dan silaturahim.

Selain itu, resolusi kelima forum tersebut ialah penempatan penasihat syariah di mahkamah sivil melibatkan persoalan atau pertikaian undang-undang syariah ini bagi memastikan prosiding di mahkamah berjalan dengan adil dan saksama atas khidmat nasihat pakar dalam bidangnya.

Resolusi keenam pula adalah dengan memberikan pencerahan dan kefahaman kepada ahli Parlimen termasuk yang bukan Islam berhubung undang-undang syariah agar mereka menyokong sebarang usaha pindaan berkaitan undang-undang syariah dan mahkamah syariah.

Resolusi ketujuh, mewujudkan imuniti bagi setiap enakmen syariah yang diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri dan Parlimen serta mendapat persetujuan daripada Majlis Raja-raja sebelum diwartakan.

Resolusi terakhir forum pula adalah dengan mengangkat hasil resolusi ini untuk diteliti oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri kepada Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) untuk perhatian dan tindakan seterusnya bagi memastikan tiada kelompangan undang-undang atas kesalahan yang melibatkan orang Islam di bawah undang-undang Persekutuan dan memperkukuh undang-undang syariah dan mahkamah syariah.

Forum Pengukuhan Kedudukan Mahkamah Syariah dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) dengan membariskan pakar perlembagaan berpengalaman, iaitu Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Hashim@Wan Husain dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates dan Tuan Lukman Sheriff Alias dari Tetuan Zul Rafique & Partners.

Forum tersebut turut disiarkan secara dalam talian melalui laman Facebook YADIM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.