17 Februari 2024, 11:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah para ilmuan perlu merangka strategi melalui perancangan yang tersusun dan berkesan bagi memastikan kejayaan dan kelangsungan kerja dakwah yang dilakukan.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Persidangan Majlis Ilmuan Nusantara (MIN) Kali Pertama 2024 yang mengangkat tema “Manhaj Ahlussunnah Asas Penyatuan Ummah” yang berlangsung di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Persidangan MIN Kali Pertama 2024 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, hari ini.

Persidangan MIN 2024 yang berlangsung hingga 18 Februari 2024 dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dalam usaha memantapkan kerjasama untuk kepentingan dakwah di Asia Tenggara dan Perlis menjadi platform bagi menjayakan gerakan dakwah di rantau ini.

Baginda menambah,

Perlis amat mengalu-alukan segala bentuk penganjuran program yang meningkatkan mutu ilmu dan intelek umat Islam. Kami sedia membuka ruang seluas-luasnya untuk para sarjana dan ilmuan berdiskusi dalam menghasilkan resolusi yang akan membawa kepada kebaikan dan keberkatan kepada umat Islam.

Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua MAIPs percaya bahawa penganjuran persidangan seperti ini akan menghasilkan natijah yang positif dalam mewujudkan kerjasama serantau dan pada masa yang sama, mampu menghasilkan ketetapan dalam beberapa perkara untuk dijadikan panduan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyantuni peserta Persidangan MIN Kali Pertama 2024.

Baginda turut berharap agar kewujudan MIN mampu membentuk kerjasama pada masa hadapan dan memberikan natijah yang positif bagi kerja dakwah di Asia Tenggara.

Persidangan yang mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Perlis ini juga disertai oleh beberapa ilmuan negara lain, termasuklah dari Indonesia, Thailand, Kemboja dan Vietnam, sekali gus memberikan gambaran bahawa betapa kuatnya ukhuwah Islamiah di rantau Nusantara ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor. Hadir sama Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat, Tuan Mohd Shukri Ramli.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.