15 Februari 2024, 21:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah, semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didukung oleh rakyat Malaysia.

Menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office pada hari ini, baginda turut bertitah, dalam usaha menangani isu yang berbangkit ini, apa-apa yang lebih penting ialah usaha kita mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluas kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan, bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan (ambiguity),” titah baginda dalam Mesyuarat MKI Kali ke-71 di Putrajaya pada hari ini.

Baginda juga bertitah, pelbagai pihak terutama ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut dan terdapat ulasan yang memberikan penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut.

Namun demikian, titah baginda, terdapat juga ulasan berdasarkan polemik kepentingan pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini dan ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik “Black Friday” kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini.

“Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut dan beta telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan atas titah beta semasa mesyuarat MKI Kali ke-70 pada 28 Ogos 2023 sedang meneliti persoalan yang berbangkit ini,” titah baginda.

Baginda bertitah, antaranya termasuklah dengan melaksanakan kajian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi seperti analisis terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci; dan mencadangkan dan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan mengkaji kaedah memperkasakan bidang kuasa mahkamah Syariah.

Baginda turut bertitah, Jawatankuasa Khas ini telah diberikan tempoh setahun dari tarikh ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

“Beta menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas ini dengan memberikan cadangan yang berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas ini melaksanakan tugas mereka.”

“Beta faham, menjadi satu amanah yang berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas ini namun beta percaya akan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli Jawatankuasa ini serta dengan izin Allah SWT, satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini,” titah Sultan Selangor.

Sementara itu, baginda bertitah, semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan daripada Jawatankuasa Khas berkenaan.

“Pada kesempatan ini, beta ingin menasihatkan umat Islam di negara ini terutama kepada para alim ulama dan para ilmuwan Islam agar sentiasa memelihara adab ketika mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan umat Islam.”

“Tidak perlu berbalah secara terbuka dalam perkara yang boleh kita selesaikan dengan cara bermusyawarah dan secara tertutup,” titah baginda.

Sultan Selangor turut bertitah, kita perlu meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul dan rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada para ilmuwan Islam dan para alim ulama serta sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan dengan sesuatu hukum dapat disepakati oleh semua.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.