30 Januari 2024, 22:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pasir Gudang – Bagi menyemai rasa cinta akan al-Quran dalam jiwa murid, pendidik Sekolah Agama Pasir Gudang 2 (SAPG2), Johor menganjurkan majlis khatam al-Quran untuk murid darjah enam yang bakal menamatkan pengajian rendah mereka pada 29 Januari 2024.

Dalam program yang dihadiri lebih daripada 80 orang murid dan warga pendidik tersebut, Guru Besar SAPG2, Ustazah Zuraidah Mohd Yusoh menyatakan rasa syukurnya dan syahdu mendengar alunan indah bacaan al-Quran bersama-sama murid.

“Saya berasa sangat istimewa dan bangga melihat anak-anak saya membesar dengan meletakkan al-Quran dalam hati mereka.

Pembacaan yang rutin diterapkan di sekolah hingga pada akhirnya mereka dapat hidup berdampingan dengan al-Quran merupakan kejayaan bagi kami sebagai warga pendidik,” katanya.

“Apabila mereka besar dan mampu membaca al-Quran dengan baik, sudah pasti mereka nanti dapat mengajarkannya kepada teman atau keluarga sehingga menjadi amal jariah untuk kita dan peneman dalam kehidupan mereka sebagai seorang yang beragama,” tambahnya lagi.

Majlis Khatam al-Quran Murid Darjah Enam Sekolah Agama Pasir Gudang 2 yang berlangsung pada 29 Januari 2024.

Pengarah Program, Ustazah Zaidah Abdullah menjelaskan bahawa program ini bertujuan untuk mendekatkan murid dengan nilai-nilai al-Quran.

Selain membaca al-Quran, murid dan pendidik juga diperdengarkan dengan kisah tentang fadilat dan kebaikan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan harian.

“Program ini merupakan satu daripada cara kita mengajak murid mengamalkan al-Quran dan mengajak mereka untuk bertadabur dalam usaha memahami dan menghayati mesej yang disampaikan dan kisah yang diceritakan dalam al-Quran,” ujarnya.

Al-Quran menjadi panduan dan sumber rujukan bagi umat manusia dalam segala aspek kehidupan.

Membaca al-Quran dapat menyuburkan lagi rasa kedamaian dan memahaminya membuatkan seseorang mukmin berasa utuh untuk menjalani kehidupan di muka bumi ini.

Melalui amalan membaca Al-Quran, hati akan tenang melihat keindahan kalam Allah yang tersusun rapi dengan ayat dan makna yang terkandung padanya.

Selain itu, memahami al-Quran mampu meningkatkan ketakwaan dan keimanan sekali gus berupaya menjadi pemangkin semangat dan inspirasi penuh untuk mengamalkannya apatah lagi menghafalnya.

Hal ini dikatakan demikian kerana dalam al-Quran terkandung mesej yang sarat dengan makna tersurat dan tersirat sehingga mampu memotivasikan diri seseorang umat untuk hidup dan berjaya dalam apa-apa juga perkara yang berlaku dalam kehidupannya.

Program ini mengajak murid mengamalkan al-Quran dan bertadabur dalam usaha memahami dan menghayati mesej yang terkandung dalam al-Quran.

Penanaman nilai dan sifat cinta akan al-Quran perlu diterapkan bermula dari awal lagi seperti kata pepatah, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”.

Dengan cara penyampaian yang menarik dan kreatif, pastinya murid akan lebih tertarik untuk mempelajari ilmu al-Quran yang sangat luas dan bermanfaat.

Peranan pendidik menanam nilai tersebut sangat besar untuk memperhalusi setiap makna daripada al-Quran sehingga murid mampu untuk memahami setiap makna yang disampaikan dan dipraktikkan dalam kehidupan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.