28 Januari 2024, 22:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Ilmu tauhid penting dalam usaha untuk menghapuskan segala bentuk unsur khurafat dan sihir yang mampu merosakkan akidah masyarakat Islam pada masa kini.

Kepercayaan kepada tauhid mampu menguatkan pemahaman bahawa hanya ada satu sumber kuasa di muka bumi dan kekuasaan yang sebenar itu datang daripada Allah.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutup Perlis International Sunnah Convention (PISC) 2024 di Dewan, 2020 Kangar, Perlis Darul Sunnah.

Tuanku Raja Muda bertitah agar umat Islam yang beriman dengan tauhid tidak terdedah dengan unsur khurafat atau bergantung kepada ilmu sihir sebagai penyelesaian kepada apa-apa masalah yang dihadapi.

DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama penceramah dan peserta Perlis International Sunnah Convention (PISC) yang berlangsung pada 27 Januari 2024 hingga 28 Januari 2024 bertempat di Dewan 2020 Kangar, Perlis. 

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah Prof. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Tuan Haji Najmuddin Abdul Karim.

Dalam majlis yang sama, sebanyak enam orang penceramah antarabangsa dan ilmuwan Islam turut terlibat dalam menjayakan majlis ilmu yang julung-julung  kali diadakan seperti Sheikh Assim Al-Hakeem, Dr. Muhammad Salah, Sheikh Wasim Kempson, Dr. Abu Ameenah Bilal Philips, Sheikh Hussain Yee dan Dr. Zakir Naik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.