Diterbitkan pada 10 Disember 2023, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Besar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan kempen “Nihayatul-Am MAIPs” anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menggalakkan masyarakat menunaikan ibadah zakat, wakaf dan sedekah menjelang akhir tahun 2023 di Taman Agrovet, Jabatan Veterinar Negeri Perlis, Padang Besar, Perlis.

Baginda berharap agar masyarakat dapat menggunakan kesempatan akhir tahun ini untuk menunaikan ibadah zakat dan wakaf melalui MAIPs, yang merupakan agensi tunggal pengurusan baitulmal zakat dan wakaf di negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merupakan Yang DiPertua MAIPs turut menggalakkan masyarakat agar memberikan sumbangan bagi menyucikan harta tidak patuh syariah dengan menyalurkannya kepada Tabung Bara’atuz-Zimmah (t-BAZ) MAIPs.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, YBrs. Encik Syed Aisam Syed Idris Al-Habshe dan Ketua Unit Kutipan Zakat MAIPs, YBrs. Encik Khairil Anwar Othman.

Yang turut mengiringi Baginda ialah Mufti Perlis, YBhg. Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengarah Jabatan Veterinar Negeri Perlis, YBrs. Dr. Zawida Zahari.

Sementara itu, YBrs. Encik Syed Aisam berkata, ibadah zakat yang diwajibkan kepada mereka yang berkemampuan merupakan kewajipan syarak yang mesti dilunaskan sebagai bukti kesyukuran selain dapat membantu mereka yang memerlukan.

“Ibadah zakat adalah kewajipan untuk mengagihkan sebahagian kecil daripada harta yang dimiliki, bertujuan untuk menyucikan harta dan jiwa penyumbangnya, dan dapat membantu serta memberikan kekuatan semangat kepada penerima yang layak menerimanya,” tambah beliau.

Masyarakat turut boleh melaksanakan sumbangan secara dalam talian dengan melayari laman portal rasmi MAIPs, iaitu www.maips.gov.my selain boleh melaksanakannya melalui amil-amil kariah di seluruh negeri Perlis.

Program tersebut dilaksanakan bersempena dengan program Kayuhan MAIPs Peduli dan terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra telah turut berkenan untuk singgah bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs di rumah tiga orang asnaf terpilih yang terdiri daripada Encik Shuib Md Saad (74 tahun) dan Puan Salmah Yob (74 tahun), iaitu kedua-duanya di Felda Mata Ayer, serta Encik Ozid Ahmad (60 tahun) yang tinggal di Batu 20, Jalan Padang Besar.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan kempen “Nihayatul-Am MAIPs” anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Raja Muda Perlis menyantuni masyarakat.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi