16 September 2023, 21:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Vilnius – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan agar setiap individu prihatin dan peka terhadap masalah yang dihadapi sesama insan dan berusaha mencari jalan keluar bagi membantu pihak yang memerlukan bantuan.

Demikian titah baginda selepas berangkat menunaikan solat jumaat di Masjid Vilnius Islamic Cultural and Education Centre semalam sambil diiringi oleh anakanda baginda, Yang Amat Mulia (YAM) Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), YBhg. Profesor Datuk Dr. Zaliman Sauli.

Baginda berada di Lithuania selama dua hari bagi menghadiri majlis persefahaman kerjasama akademik dan penyelidikan antara UniMAP dengan Vilnius Gediminas Technical University (Vilnius Tech).

“Terima kasih kepada semua penyumbang yang telah sudi menghulurkan sumbangan kepada Misi Bantuan Kecemasan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk mangsa gempa bumi di Maghribi,” titah baginda.

Baginda yang merangkap Yang Dipertua MAIPs berharap agar sumbangan yang disalurkan itu dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi oleh pihak yang terjejas berikutan kejadian gempa bumi di Maghribi.

Menurut baginda, sejak tabung Misi Bantuan Kecemasan MAIPs dilancarkan, sebanyak RM147 500 daripada sasaran kutipan RM150 ribu telah berjaya diperoleh dan akan diserahkan kepada kerajaan Maghribi seperti yang disarankan oleh pihak Kedutaan Maghribi di Kuala Lumpur.

Memandangkan keadaan di Maghribi yang bakal menghadapi musim dingin tidak lama lagi, sumbangan daripada masyarakat pada masa ini amat diperlukan.

Pada masa yang sama, baginda turut menyerahkan sumbangan zakat MAIPs kepada masjid berkenaan ketika di sana yang diterima oleh imamnya, Ismail Atabey yang berasal dari Turkiye.

DYTM Raja Muda Perlis (kiri) menyerahkan sumbangan zakat MAIPs kepada imam Masjid Vilnius Islamic Cultural and Education Centre, Ismail Atabey (kanan) dan disaksikan oleh anakanda baginda, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail (tengah).

Untuk rekod, sebanyak 50 peratus daripada 10 ribu orang Muslim di Lithuania adalah berketurunan dari Turkiye dan terdapat empat atau lima buah masjid di seluruh negara berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.