1 Ogos 2023, 22:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Operasi Haji Musim 1444H/2023M telah berakhir dengan rasminya pada hari ini apabila kumpulan akhir jemaah haji Malaysia sebanyak 270 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pesawat MH8391 pada pukul 1.15 tengah hari tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, operasi haji pada tahun ini telah mencapai tiga matlamatnya utamanya apabila berjaya membawa para jemaah haji negara melaksanakan kemuncak haji, iaitu berwukuf di Arafah; memastikan keselamatan jemaah semasa pergerakan melibatkan Arafah, Muzdalifah dan Mina; serta memastikan keselesaan bagi jemaah semasa berada di tanah suci selama lebih daripada 40 hari.

“Pengurusan haji yang sistematik ini jelas menunjukan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia dan Lembaga Tabung Haji (TH) yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesihatan para jemaah haji kita,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak TH, hari ini.

Tambah beliau, pelbagai kemudahan dan perkhidmatan juga telah disediakan kepada para jemaah haji Malaysia agar mereka dapat menyempurnakan urusan haji ke arah mendapat haji yang mabrur.

Beliau turut memaklumkan pihak TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan dan dua peringkat sesi pascanilai haji akan dilaksanakan pada Ogos dan September ini untuk meneliti maklum balas yang diterima dari semua sudut operasi.

“Melalui sesi tersebut, pihak TH akan memperbaiki ke tahap yang lebih baik demi menyantuni para jemaah haji pada musim akan datang,” jelas beliau.

Menurut beliau, pihak TH juga telah mengedarkan borang kaji selidik kepada para jemaah semasa berada di tanah suci bagi mendapatkan maklum balas mengenai tahap kepuasan mereka terhadap perkhidmatan yang telah diberikan oleh TH dan agensi berkaitan haji Arab Saudi sepanjang musim haji berlangsung.

Katanya, jemaah haji Malaysia turut menerima pujian kerana sentiasa mengekalkan disiplin yang baik, berpengetahuan ketika melaksanakan ibadat, dan mematuhi segala peraturan Kerajaan Arab Saudi sepanjang berada di Makkah dan Madinah.

Sementara itu, pengurusan haji Malaysia terus diiktiraf oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai antara yang terbaik dan menjadi model pengurusan haji contoh bagi negara-negara Islam serta masyarakat antarabangsa apabila sekali lagi menerima Anugerah Labbaitom daripada Kerajaan Arab Saudi tahun ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.