Oleh Syaza Wardina
21 Julai 2023, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pemangku Raja Perlis, DYMM Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi prestasi kerja pekerja atau dalam konteks Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pekhidmat Majlis, antaranya termasuklah kepimpinan.

Kita perlu lihat pengaruh kepimpinan terhadap prestasi kerja dan organisasi secara umum, demikian titah baginda menurut hebahan media MAIPs ketika berangkat mempengerusikan Persidangan Mesyuarat MAIPs Bilangan ke-4 bagi Tahun 2023 yang diadakan di Balai Perdana Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, baru-baru ini.

Persidangan Mesyuarat MAIPs Bilangan ke-4 bagi Tahun 2023 yang diadakan di Balai Perdana Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, baru-baru ini.

Menurut DYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis, “Kepimpinan juga boleh disebutkan sebagai satu proses tingkah laku yang mempunyai impak yang dinamik semasa berlakunya interaksi individu dan organisasi.”

Pemimpin mestilah dilengkapi dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi seiring dengan arus perkembangan dunia yang semakin mencabar.

“Hal ini dikatakan demikian kerana pemimpin perlu menjadi contoh kepada pengikut mereka, memotivasi dan memberikan inspirasi serta galakan dalam penyelesaian masalah, bertindak sebagai panduan atau tutor, serta memberikan perhatian terhadap keperluan pengikut dalam perkembangan dan kemajuan diri pekerja,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Selain itu, baginda menitahkan bahawa pekerja atau kakitangan merupakan aset berharga dalam sesebuah organisasi.

“Dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 ini, pekerja yang berkemahiran dan mempunyai prestasi kerja yang tinggi amat diperlukan untuk mencapai matlamat organisasi,” titah baginda.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.