20 Julai 2023, 22:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Palah – Datuk Wira Othman Muhamad, Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H/2023M Peringkat Negeri Melaka, semalam.

Datuk Wira Othman berkata, beliau bersyukur dan berbesar hati menerima Anugerah Abu Bakar As-Siddiq sekali gus menerima wang tunai sebanyak RM10 000 serta sijil penghargaan yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Auditorium Masjid Al-Azim, sempena Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Melaka 2023.

Datuk Wira Othman sebelum ini pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba yang juga merupakan pengasas dan mantan pengarang akhbar rasmi kerajaan negeri, Suara Melaka dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Melaka.

Sepanjang perkhidmatannya di JASA Melaka, beliau berjaya memastikan program Taqqrrub Ramadan dapat dilaksanakan dengan cemerlang setiap tahun.

Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana sudi menganugerahi saya anugerah tertinggi ini dan tidak menyangka segala sumbangan dan tugas ketika berkhidmat termasuk kerja dakwah yang dijalankan sejak tahun 1982 diberikan pengiktirafan seperti ini.

“Malah usaha saya meluaskan program Taqqrrub Ramadan juga banyak dibantu oleh Tun Mohd Ali yang pad ketika itu menjadi Ketua Menteri,” katanya.

Program Maal Hijrah 1445H/2023M peringkat negeri Melaka itu turut memperkenalkan satu kategori baharu anugerah ibu mithali yang dinamakan Anugerah Fatimah Az-Zahra bagi memberi pengiktirafan kepada golongan ibu yang menyumbang jasa.

Rodiyah Tokimon menerima Anugerah Fatimah Az-Zahra pada Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1445H Peringkat Negeri Melaka 2023.

Anugerah Fatimah Az-Zahra disampaikan kepada seorang ibu yang membesarkan 17 orang anak, iaitu Rodiyah Tokimon, berusia 79 tahun.

Turut disampaikan ialah 13 kategori lain termasuk Tokoh Belia Islam (Anugerah Ali bin Abi Talib), Tokoh Warga Istimewa (Anugerah Abdullah bin Ummi Maktum) dan Tokoh Aktivis Muslim (Anugerah Salman al-Farisi).

Terdahulu, majlis tersebut turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Wira Md Rawi Mahmud; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Badaruddin Mohd Kassim.

Antara penerima anugerah Maal Hijrah 1445H/2023M Peringkat Negeri Melaka bergambar bersama-sama tetamu kenamaan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.