20 Julai 2023, 11:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Profesor Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob, mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Kuala Lumpur menerima penganugerahan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan untuk tahun 2023/1445 Hijrah.

Pengumuman itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1445H yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Menurut beliau, antara kriteria pemilihan tokoh ialah sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan agama Islam.

“Mereka juga mendapat pengiktirafan serta diterima seluruh masyarakat di dalam dan luar negara,” jelasnya.

Profesor Datuk Dr. Abdul Monir mempunyai pengalaman selama lebih 10 tahun sebagai pensyarah dan memegang jawatan Profesor Madya, Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau telah dilantik sebagai Penolong Ketua Pengarah IKIM pada November 1997 dan kemudiannya dilantik sebagai Ketua Pengarah IKIM dari April 2002 hingga Mac 2005.

Beliau telah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syariah selama beberapa tahun, dan kemudiannya dilantik sebagai Profesor di Jabatan Syariah dan Undang-undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dari Januari 2006 hingga Mei 2007 dan sebagai Penasihat Akademik Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam dari Mei 2007 hingga Mei 2009.

Beliau juga telah menerbitkan 20 buah buku (dikarang dan disunting). Penyelidikan beliau memfokuskan dua bidang, iaitu pentadbiran undang-undang Islam di negara-negara ASEAN terpilih dan mahkamah syariah di negara-negara minoriti Islam dan Islam terpilih.

Selain Profesor Datuk Dr. Abdul Monir, Anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 1445H telah dinobatkan kepada Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abubakr.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong bersama-sama YAB Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta barisan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa 1445H di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur , semalam.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan menyampaikan penganugerahan berupa hadiah dan sijil penghargaan kepada kedua-dua tokoh berkenaan. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama ke majlis tersebut ialah YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.