Oleh Syaza Wardina
17 Julai 2023, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pelaksanaan program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli kali ke-45 disifatkan sebagai pendekatan yang baik, serta membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melakukan penambahbaikan khususnya dari segi tadbir urus melalui aktiviti lapangan.

Kayuhan tersebut diketuai sendiri oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs dan turut diiringi oleh Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia, Norazman Othman.

Program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli merupakan satu daripada platform Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyantuni asnaf terpilih di Perlis.

Norazman berkata, pendekatan ini sangat mendapat perhatian kerana selain berpeluang berjumpa dengan penduduk dan melalui kawasan kampung, JKM lebih mengetahui keadaan sebenar tentang apa-apa yang berlaku dalam kalangan masyarakat seperti keadaan rumah.

“Hal yang demikian sebenarnya sedikit banyak membantu pihak JKM sendiri untuk menambah baik sebarang kekurangan dan kelemahan dari segi tadbir urus yang boleh dikenal pasti daripada maklum balas dan juga menerusi apa-apa yang kita lihat sendiri di lapangan,” ujar beliau.

Tambah Norazman, “Program kayuhan ini merupakan satu pengamalan yang sangat menarik dan mengujakan lebih-lebih lagi apabila Tuanku Pemangku Raja Perlis sendiri yang memulakan dan mengetuai program ini.”

“Apa-apa yang ditunjukkan oleh Tuanku Pemangku Raja Perlis sangat menarik dan membuatkan rakyat akan lebih dekat dengan baginda menerusi pendekatan yang dicetuskan,” katanya.

Hadir sama ialah Pengarah JKM Negeri Kedah, Shaballah Zainal Abidin; Pengarah JKM Negeri Pulau Pinang, Zakaria Taib; dan Pengarah JKM Negeri Perak, Nor Tipah Majin.

Kayuhan MAIPs Peduli merupakan satu program yang tidak asing lagi bagi rakyat di negeri Perlis yang memperlihatkan DYMM Tuanku Pemangku Raja Perlis diiringi oleh ketua-ketua agensi di Perlis, yang berbasikal sambil singgah di rumah asnaf terpilih.

Baginda akan menyantuni, bertanya khabar serta menghubungkan asnaf tersebut dengan pihak yang berkenaan, bergantung pada keperluan mereka.

Hadir menyambut keberangkatan baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah JKM Negeri Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.