Diterbitkan pada 14 Julai 2023, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengingatkan pentadbir masjid dan surau seluruh negeri Selangor untuk mempertingkatkan kawalan dan menguatkuasakan kesemua larangan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) agar masjid dan surau tidak dijadikan medan berpolitik dan pusat propaganda politik kepartian menjelang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos nanti.

Pengarah JAIS, Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad berkata, peringatan ini dibuat kerana menerusi pemantauan pihaknya, masih terdapat pentadbir surau atau masjid memandang ringan larangan tersebut.

“Antaranya termasuklah membiarkan atau membenarkan bahan penerbitan berunsur politik disebarkan di kawasan masjid atau surau dan membiarkan tokoh-tokoh politik menggunakan masjid atau surau untuk tujuan politiknya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak JAIS, semalam.

Menurut beliau, tindakan ini merupakan perbuatan yang jelas melanggar ketetapan dibuat MAIS bagi mengekalkan masjid atau surau sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang elemen dan pengaruh politik kepartian.

Tambahnya, tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjelang proses PRN dengan mengedarkan terbitan atau bahan bercetak berunsur politik dan berpolitik di masjid atau surau merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Selangor serta ketetapan MAIS.

“Diingatkan bahawa Sultan Selangor sejak tahun 2018 lagi telah bertitah agar masjid atau surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan dan sentiasa mengingatkan kepada semua pihak termasuk pentadbir masjid atau surau ketika Istiadat Penyampaian Watikah Nazir dan Imam Masjid Seluruh Negeri Selangor pada 2 Mac di Istana Alam Shah, Klang,” katanya.

Katanya lagi, baginda turut bertitah kepada ahli politik berhubung dengan perkara yang sama ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 13 Mac lalu.

Jelas beliau, ketetapan MAIS berhubung dengan perkara ini masih berkuat kuasa dan sebarang tindakan bersifat menghina atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau MAIS, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Tambahnya, pegawai masjid pada masa yang sama juga boleh dibatalkan pelantikannya oleh MAIS berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017.

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi