Diterbitkan pada 6 Julai 2023, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sepang – Kumpulan pertama yang terdiri daripada 284 jemaah haji Malaysia telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.45 malam semalam.

Ketibaan jemaah haji kumpulan pertama tersebut disambut oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Tuan Syed Hamadah Syed Othman dan Pengurusan Kanan TH yang lain di balai ketibaan KLIA.

Menurut beliau, TH amat bersyukur kerana operasi musim haji pada tahun ini berjalan dengan baik tanpa sebarang musibah berlaku dan mengucapkan terima kasih kepada semua jemaah haji atas segala kerjasama baik yang diberikan.

“Penghargaan kami juga kepada ahli keluarga jemaah haji, serta rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan dan kesejahteraan jemaah haji negara semasa berada di tanah suci.”

“Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi terutamanya Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang telah mengambil langkah-langkah proaktif terutamanya dari segi keselamatan dalam memastikan kelancaran pergerakan jutaan umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadat haji pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, pihak TH mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan terutamanya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sahabat Maktab yang merupakan sukarelawan daripada kalangan jemaah haji yang banyak membantu TH ketika operasi haji di Tanah Suci serta semua agensi lain yang terlibat membantu melancarkan urusan serta pergerakan operasi haji tahun ini.

Beliau mengambil kesempatan untuk bersalaman dan mengucapkan selamat pulang serta tahniah kepada para jemaah haji yang telah selesai melaksanakan rukun Islam kelima pada musim haji tahun ini.

Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan Allahyarhamah jemaah haji yang telah kembali ke rahmatullah di tanah suci dan mendoakan keluarga mereka terus tabah menghadapi ujian ini.

Sebahagian daripada jemaah haji kumpulan pertama yang ada antaranya bakal meneruskan perjalanan ke Alor Setar dan Kota Bharu.

Beliau juga menjelaskan bahawa TH akan mengadakan sesi pascanilai bagi menilai secara terperinci perjalanan operasi musim haji tahun ini dan maklum balas yang diterima daripada semua 18 sektor operasi.

“Pascanilai ini amat penting dalam usaha TH memperbaiki setiap kelemahan demi mempertingkatkan perkhidmatan dan menambah baik segala langkah kerja demi kesejahteraan jemaah haji pada masa hadapan,” tambahnya.

Menurut beliau, pihak TH sentiasa prihatin terhadap kebajikan jemaah haji negara dan kami akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Untuk makluman, sebanyak 69 jemaah haji Malaysia telah menerima rawatan di Pusat Rawatan TH di Makkah dan enam orang telah meninggal dunia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi