24 Jun 2023, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Jalinan kerjasama antara Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan Ethiopian Islamic Affairs Supreme Council (EIASC) telah diadakan buat julung-julung kalinya di Ibu Pejabat EIASC, Addis Ababa, Ethiopia, baru-baru ini.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs mengetuai pertemuan bersejarah tersebut bagi membincangkan beberapa kerjasama pintar antara kedua-dua belah pihak demi kemaslahatan umat.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh Mufti Perlis, Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor disambut oleh Yang DiPertua EIASC, Sheikh Haji Ibrahim Tufa dan Setiausaha Am beliau, Sheikh Hamid Mussa.

Pertemuan bersejarah Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan pihak EIASC di Ibu Pejabat EIASC, Addis Ababa, Ethiopia.

Baginda sangat berbangga melihat pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh EIASC dalam melaksanakan pengurusan umat Islam di negara berkenaan termasuklah dalam aspek pengurusan persediaan dan perjalanan ibadah haji, selain terlibat secara aktif dalam memberikan perkhidmatan hal ehwal Islam seperti pendidikan, irsyad fatwa, dakwah, pengajian dan pengimarahan masjid.

Jalinan kerjasama tersebut membincangkan beberapa perkara, misalnya mengenai peluang melanjutkan pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung di bawah MAIPs dan pelaksanaan program mobiliti sarjana akademik ke Perlis.

Perbincangan antara Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan pihak EIASC.

Selain itu, penerokaan program halaqah pengajian turath agama Islam, pelaksanaan kursus peningkatan profesionalisme pengurusan imam dan program latihan pengurusan hal ehwal Islam secara dalam talian dan bersemuka turut dipersetujui dalam pertemuan bersejarah tersebut.

Pada masa yang sama, EIASC turut menyatakan hasrat untuk mempelajari dan bertukar pandangan tentang pengalaman dan kepakaran MAIPs dalam pelbagai bidang pengurusan hal ehwal Islam.

“Diharapkan hubungan baharu antara MAIPs dengan EIASC akan dapat diperhebat demi memastikan kedudukan umat Islam sentiasa dipandang tinggi,” titah baginda dalam pertemuan itu.

Sementara itu, perjanjian hasrat persefahaman antara kedua-dua setiausaha majlis agama tersebut turut dimeterai.

Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor menandatangani perjanjian berkenaan bagi mewakili MAIPs, manakala Sheikh Hamid Mussa mewakili EIASC dan disaksikan oleh baginda serta wakil daripada Kementerian Luar Negeri Ethiopia, Anteneh Fentaw.

Perjanjian persefahaman antara setiausaha MAIPs dengan EIASC dimeterai dan disaksikan oleh Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta wakil daripada Kementerian Luar Negeri Ethiopia, Anteneh Fentaw.

Usai pertemuan berkenaan, DYMM Pemangku Raja Perlis bersama-sama Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan melaksanakan lawatan khas ke Kompleks Ibu Pejabat Kesatuan Afrika yang menjadi medan perbincangan serta percambahan gagasan pemikiran yang mengabungkan kesemua 55 buah negara di benua Afrika dalam mempertingkat hasrat kemakmuran bersama.

Sesi penyerahan cenderamata.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.