Oleh Abd Razak Osman
18 Jun 2023, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – Perdana Menteri (PM), Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyumbang peruntukan sebanyak RM1.985 juta kepada 28 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Pusat Tahfiz dan Pondok di negeri Kedah semalam.

Peruntukan itu adalah bertujuan untuk memartabatkan dan  memperkukuh institusi pendidikan Islam di negeri Kedah.

Setiausaha Persatuan Pengetua SAR Negeri Kedah, Mohamad Faiz Mohd Taib berkata, usaha itu baik untuk membantu institusi agama bagi memberikan perkhidmatan pendidikan Islam kepada pelajar di negeri Kedah amnya.

Banyak perubahan bakal dinikmati oleh institusi pendidikan agama jika bantuan seumpama itu terus diberikan.

Menurut Mohamad Faiz lagi, PM ketika berucap sempena dengan Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah di Kampung Melele, Kodiang, meminta pihak pengurusan sekolah agama meningkatkan kualiti sekolah agar dapat terus mengikuti perkembangan arus pendidikan kebangsaan.

Di samping itu, PM juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 juta kepada pihak SMA Nahdhah Hasanah Melele Kodiang bagi tujuan membaik pulih sekolah itu.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Pengetua Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah, Mohd. Jamil Sadaqi Tajuddin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.