4 Jun 2023, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) akan melaksanakan naik taraf laman portal rasmi bagi perkhidmatan bayaran secara dalam talian menjelang Julai 2023. Usaha berkenaan dilaksanakan adalah ke arah mempertingkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan secara dalam talian yang dilaksanakan oleh MAIPs selama ini.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mendengar penerangan daripada Pengerusi Jawatankuasa ICT dan Pendigitalan MAIPs dan timbalannya.

Demikian seperti yang diperkenankan Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menerima sembah mengadap Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa ICT dan Pendigitalan MAIPs sempena Program Hijrah Minda Bilangan ke 10 bagi Tahun 2023 yang diadakan di Masjid Nurul Mukminin, Alor Ara dekat Arau semalam.

Keberangkatan Baginda selaku Yang DiPertua MAIPs disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa ICT dan Pendigitalan MAIPs, Haji Azlan Hussain dan timbalannya, Tengku Farith Rithauddeen Tengku Ahmad Rithauddeen.

DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor mempersembah maklumkan kepada Baginda bahawa MAIPs sedang membangunkan Pelan Transformasi Digital MAIPs 2023-2027 selari dengan Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0 yang  memberikan penekanan untuk menjayakan hasrat pengukuhan perkhidmatan yang dilaksanakan.

Justeru adalah diharapkan naik taraf portal bayaran yang akan dilaksanakan ini dapat mempermudahkan para penyumbang sama ada sumbangan zakat, wakaf, sedekah atau lain-lain sumbangan kepada MAIPs dilakukan melalui perkhidmatan digital yang mampan

Sebagai rekod, MAIPs telah mengorak langkah memperkenalkan bayaran dalam talian melalui portal rasmi MAIPs yang boleh diakses pada pautan www.maips.gov.my.

Sempena program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan. Masing-masing menerima RM400 dengan jumlah penuh disumbangkan oleh MAIPs bernilai RM8000 pada kali ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.