2 Jun 2023, 13:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) meluaskan jaringan kerjasama dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa’ Malaysia (Al-Nidaa’) di Galeri Diraja Arau, baru-baru ini.

Majlis menandatangani MoU tersebut diwakili oleh Rektor KUIPs, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle bagi pihak KUIPs, dan Pengerusi Al-Nidaa’, Ustaz Shofwan Badrie Ahmad Badrie bagi pihak Al-Nidaa’.

Memorandum persefahaman ini merangkumi hubungan strategik dan kerjasama antara kedua-dua pihak seperti latihan, seminar dan kursus, perkongsian kepakaran dalam bidang pendidikan serta pelbagai kerjasama lain atas persetujuan pihak KUIPs dan Al-Nidaa’.

Keistimewaan khas mungkin akan diberikan buat warga Al-Nidaa’ sama ada para pelajar lepasan SPM atau juga buat warga pendidik yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang yang ditawarkan di KUIPs.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyaksikan majlis bersejarah tersebut.

Baginda yang juga merangkap Canselor KUIPs dan juga Penaung Al-Nidaa’ penuh yakin bahawa warga kepimpinan institusi pendidikan Al-Nidaa akan terus menitikberatkan elemen pembelajaran berteraskan sumber yang sahih, serta terus konsisten atau istiqamah dalam menerapkan pemahaman, khususnya kepada para pelajar sesuai dengan slogannya, iaitu ‘Seruan ke arah memartabatkan al-Quran dan sunah’.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bergambar bersama-sama pelajar Al-Nidaa’.

Baginda turut yakin penekanan terhadap pegangan sunah yang sahih dan menjauhi amalan syirik dan khurafat akan menghasilkan kesan positif kepada masyarakat pada masa akan datang yang juga mengambil semangat daripada tema Program Perkampungan Sunah baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri sama oleh 70 orang pelajar tingkatan empat Al-Nidaa’ dari Sekolah Menengah Islam Tahfiz Al-Amin, Teluk Intan; Mutiara Integrated Secondary School, Hulu Langat; dan Maahad Tahfiz Mutiara, Kerteh.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.