2 Jun 2023, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) menyerahkan sumbangan zakat perniagaan  sebanyak RM185 000 bagi tahun kewangan 2022 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Penyerahan cek contoh tersebut dipersembahkan oleh Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik kepada Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam satu majlis yang diadakan di Masjid al-Falah, Behor Mempelam, Arau.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pada majlis yang sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 140 orang asnaf terpilih dari kariah Behor Mempelam dan Tambun Tulang.

Masing-masing menerima RM700 setiap seorang selepas membuat pemeriksaan kesihatan yang dijayakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Baginda Pemangku Raja Perlis menzahirkan rasa gembira atas kesudian pihak Bank Islam Malaysia Berhad yang sekali lagi mengunjungi Perlis bagi menyalurkan sumbangan.

 

Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs asnaf terpilih.

Baginda berharap agar lebih banyak lagi syarikat korporat yang lain sudi berganding bahu dengan MAIPs untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik di negeri ini.

Mohd Nazri pula memaklumkan bahawa kehadiran mereka ke Perlis juga adalah bagi membincangkan pelbagai kolaborasi sedia ada dan yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.

“Rakyat Perlis sangat bertuah kerana mempunyai pewaris takhta yang sangat prihatin dan sudi berangkat menyampaikan sendiri bantuan, serta berjumpa dengan asnaf yang terpilih di segenap pelosok negeri,” katanya.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.