29 Mei 2023, 14:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Akidah yang bersih mampu menyelamatkan seseorang daripada syirik dan membawa kepada jalan hidup yang benar.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri Kelapan di Masjid Alwi di sini, malam tadi.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan Majlis Penutup Perkampungan Sunnah Siri Kelapan di Masjid Alwi, Kangar, Perlis.

“Syirik merupakan ‘ibu kesalahan fikir’ yang membawa seseorang ke arah cara berfikir yang salah dalam pelbagai perkara, sementara khurafat atau kepercayaan yang tidak berasas hanya akan merosakkan fikiran manusia,” titah baginda.

Menurut baginda, jika dibiarkan amalan syirik dan khurafat, manusia akan mengharap kepada sesuatu yang tidak wujud ataupun tidak benar.

“Dalam usaha membetulkan cara fikir seseorang, syirik dan khurafat hendaklah dibersihkan daripada merosakkan akal fikirannya.

“Oleh itu, tema Perkampungan Sunnah yang dipilih kali ini, iaitu ‘Membanteras Syirik, Menghapus Khurafat’ mengangkat ketinggian intelektualisme atau keupayaan fikir dan kekuatan akidah umat Islam,” titah baginda.

Baginda bertitah lagi, agama Islam meletakkan tauhid kepada Allah SWT sebagai teras dalam penerimaan segala amal ibadat.

“Amat menggusarkan apabila sebahagian daripada umat ini melakukan perkara yang boleh menjerumuskan diri mereka kepada dosa syirik.

“Oleh itu, untuk memantapkan akidah, seseorang Muslim wajib menjadikan al-Quran dan sunah sebagai panduan dalam kehidupannya,” titah baginda.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bergambar bersama-sama tetamu kehormat dan para peserta Perkampungan Sunah.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, barisan exco kerajaan negeri dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.