28 Mei 2023, 13:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa para pendakwah Islam seharusnya sentiasa melengkapkan diri masing-masing dengan ilmu dan kemahiran agar dihormati dan menjadi contoh yang terbaik kepada masyarakat.

Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan kefahaman mengenai agama Islam kepada masyarakat sekeliling dan bertanggungjawab berkongsikan keindahan Islam itu sesama umat manusia,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Persidangan Dakwah Serantau Kali Ke-9 yang diadakan di Hotel Seri Malaysia Kangar, Perlis dari 27 Mei 2023 hingga 29 Mei 2023.

Keberangkatan tiba Pemangku Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ke Persidangan Dakwah Serantau Kali ke-9.

Program berkenaan dianjurkan melalui kerjasama dengan Hidayah Centre Foundation, MyGuide Malaysia, Gabungan Dakwah Malaysia dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Marilah bersama-sama menguatkan pegangan akidah, terutamanya untuk diri sendiri agar akidah kita dilindungi daripada sebarang anasir yang tidak baik sehingga boleh membawa kepada kesan yang negatif.

Titah baginda lagi, masyarakat haruslah memikul tanggungjawab dengan penuh berdedikasi sebagai khalifah dan pendakwah untuk mengajak manusia mengakui ke jalan kebaikan.

Para peserta yang menyertai persidangan ini seharusnya memanfaatkan ilmu yang diperoleh, bertukar pengalaman dan berkenalan antara satu sama lain.

Keberangkatan tiba baginda ke persidangan yang dihadiri sebanyak 200 orang peserta daripada 40 buah negara itu disambut oleh Pengerusi Hidayah Centre Foundation, YBrs. Ir Dr. Muhammad Fuad Abdullah dan Tuan Haji Muhammad Abdullah @ Nicholas Sylvester.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.