23 Mei 2023, 14:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Jemaah haji perlu bersedia dari segi fizikal dan mental bagi menghadapi cuaca panas dan kering di Arab Saudi pada masa ini.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH) merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, para jemaah haji dinasihatkan untuk tidak terdedah terlalu lama kepada cuaca panas terik bagi mengelakkan daripada mengalami strok haba dan dehidrasi.

“Sekarang musim panas di Arab Saudi yang suhunya boleh mencecah hampir 50 darjah celcius atau lebih,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau turut hadir mengucapkan selamat jalan kepada kumpulan pertama bakal haji, dan mendoakan kesemua jemaah haji Malaysia terus kekal sihat dan dapat melaksanakan ibadat haji dengan sempurna.

Pada masa yang sama, beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi yang masih meneruskan program Makkah Route yang memudahkan urusan pelepasan imigresen semasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lagi.

Penerbangan pertama yang membawa 284 bakal jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini berlepas ke tanah suci pada awal pagi Ahad, 21 Mei 2023 bersamaan 1 Zulkaedah 1444H.

Penerbangan tersebut berlepas pada jam 2.05 pagi 21 dari KLIA, Sepang dengan pesawat Malaysia Airlines (MH 8056) dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah pada jam 5.50 pagi waktu tempatan pada hari yang sama.

Pada tahun ini, sebanyak 98 penerbangan menerusi Malaysia Airlines dan juga Saudia Airlines akan membawa jemaah haji negara ke tanah suci berbanding dengan hanya 48 penerbangan sahaja pada tahun lalu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.