Diterbitkan pada 12 Mei 2023, 10:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gombak – “Melihat perubahan teknologi dan gaya hidup masyarakat kini, penggunaan media sosial didapati menjadi wadah yang terbaik untuk berdakwah kerana semua orang menggunakannya.”

Demikian menurut Pensyarah Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zeti Azreen Ahmad, dalam program Sembang Santai bertajuk “Creating Content: Going Viral With Value” yang berlangsung di Auditorium Utama UIAM, Gombak, malam tadi.

Dr. Zeti Azreen Ahmad.

Menurut beliau, tidak ada medium khusus untuk seseorang itu berdakwah dan menyampaikan perkara kebaikan.

“Sebelum ini dakwah dilakukan secara bersemuka, ceramah, atau dalam bentuk penulisan, tetapi kini masyarakat lebih suka kepada perkongsian di media sosial.

“Hal ini merupakan satu trend yang agak baik kerana penggunaan media sosial merupakan aktiviti yang paling popular di seluruh dunia sekarang ini.

“Oleh sebab itu, rugi jika kita tidak menggunakan media sosial untuk kebaikan termasuk berdakwah,” katanya.

Bagi seorang lagi ahli panel, iaitu pempengaruh yang juga seorang hafiz, Abdul Qawiy Abd Rashit, beliau mengambil pendekatan untuk menyebarkan kebaikan di media sosial TikTok melalui pembacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Abdul Qawiy Abd Rashit

Menurut Qawiy, beliau tidak menyangka perkongsian berbentuk bacaan al-Quran yang pada awalnya dilakukan sekadar rutin harian untuk diri sendiri, akhirnya memperoleh banyak pengikut.

“Ternyata banyak rupanya pengguna TikTok yang ingin mendekatkan diri dengan al-Quran.

“Apabila menyedari situasi ini, saya terus menghasilkan lebih banyak kandungan berkaitan dengan al-Quran,” katanya.

Tambah Qawiy lagi, media sosial khususnya TikTok boleh menjadi satu daripada sumber hidayah jika kita menggunakannya ke arah kebaikan, lebih-lebih lagi mengajar al-Quran.

Dari kiri, Pengurus Kandungan ZAYAN, Encik Wan Syahrul Amry Wan Mansor; Pensyarah Jabatan Komunikasi, Kulliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM, Dr. Zeti Azreen Ahmad, dan Pengarah Eksekutif CMCF, Puan Mediha Mahmood.

Sembang Santai – “Creating Content: Going Viral With Value” merupakan program kerjasama antara Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) dengan stesen radio Zayan dan UIAM yang turut menampilkan dua orang penyampai radio Zayan sebagai barisan ahli panel lain, iaitu Faizal Ismail dan Lin Arifin; dan dihoskan oleh Ustaz Hadhari Romli dan Ammer Ihsan.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif CMCF, Puan Mediha Mahmood; Pengurus Kandungan ZAYAN, Encik Wan Syahrul Amry Wan Mansor, dan para peserta yang terdiri daripada pelajar UIAM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi