11 Mei 2023, 12:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KANGAR – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa Pendidikan Islam merupakan asas terpenting dalam usaha membangun dan memperkasakan umat Islam.

Hal tersebut bagi memastikan generasi umat Islam negeri ini terus berpegang dengan ajaran agama Islam yang sahih berdasarkan manhaj Ahli Sunah Waljamaah seperti yang termaktub dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan merasmikan Majlis Apresiasi Institusi Pendidikan Islam Negeri Perlis 2023 di sini malam tadi.

Jelas baginda, “Dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam di negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) telah membangunkan kurikulum Sekolah Agama Petang Perlis (SAPPs) dan dilaksanakan bersepadu dengan kurikulum Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dibawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).”

Dalam usaha memperkasakan lagi kurikulum tersebut, dan selaras dengan kokurikulum di bawah KPM, Sekolah Integrasi Perlis (SIPs) telah diperkenalkan bagi mengoptimumkan pengajian pendidikan Islam negeri ini, khususnya pada sebelah petang.

Oleh itu, menurut baginda, Mesyuarat MAIPs yang lepas memutuskan secara dasarnya untuk memberikan kebenaran mengurus kepada JAIPs untuk membangunkan Kompleks di Guar Jentik sebagai Pusat Latihan Islam Negeri.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Bahagian Pendidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Hanifuddin Roslan; dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM, Mohd Anuar Abd Rani; dan barisan exco kerajaan negeri.

Pada majlis yang sama, baginda tuanku berkenan melancarkan buku berjudul Tafsir Ringkas Faizuddin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.