5 Mei 2023, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Semua pihak diseru untuk menyatakan solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin yang masih dipenjarakan tanpa sebarang perbicaraan semata-mata kerana perjuangan mereka untuk menuntut kemerdekaan Palestin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, semua pihak perlu mengutuk tindakan rejim Israel tersebut sebagai isyarat jelas bahawa masyarakat dunia menolak sebarang bentuk kezaliman dan penganiayaan walau dalam apa-apa juga ruang yang ada.

“Amat menyedihkan apabila tahanan Palestin termasuk golongan wanita dan kanak-kanak di penjara tersebut terus ditindas oleh rejim Israel.

“Kezaliman serta penyeksaan yang diperlakukan kepada tahanan Palestin merupakan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Beliau turut menzahirkan ucapan takziah atas kematian aktivis Palestin, Almarhum Sheikh Khader Adnan yang dilaporkan telah meninggal dunia dalam tahanan di penjara Israel pada 2 Mei lalu.

Kenyataan tersebut menyatakan, Almarhum dilaporkan meninggal dunia selepas menghabiskan 86 hari mengadakan mogok lapar sebagai tindakan protes dan membantah penahanan pihak Israel terhadap rakyat Palestin secara sewenang-wenangnya serta layanan kejam yang diberikan kepada para tahanan.

Katanya, kecuaian dan keengganan pihak berkuasa Israel menyediakan kemudahan perubatan kepada aktivis tersebut sehingga menyebabkan kematiannya merupakan tindakan yang sangat tidak berperkemanusiaan serta tidak bertanggungjawab.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.