30 April 2023, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pauh Putra – Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar bakal jemaah haji mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya kerana ibadat haji adalah perjalanan rohani yang memerlukan kekuatan fizikal, emosi dan ilmu pengetahuan yang jelas.

Sebelum berangkat ke tanah suci, bersihkan niat dan gunakan tenaga dan masa untuk melaksanakan amal ibadah dengan secukupnya untuk mendapat haji mabrur.

Baginda mengucapkan tahniah kepada semua bakal jemaah haji yang telah menerima jemputan daripada Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini dan turut mengucapkan syabas atas komitmen dan ketekunan menyiapkan diri masing-masing dengan segala ilmu yang diperlukan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Tabung Haji atas usaha mereka menganjurkan kursus secara fizikal dan secara dalam talian sebagai persediaan rohani untuk semua bakal haji.

Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana Tabung Haji dijangka akan menghantar sebanyak 31 600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci pada tahun ini, yakni kembali kepada kuota asal yang dibenarkan oleh Kerajaan Arab Saudi setelah dikurangkan hanya kepada 14 000 jemaah haji pada musim lalu akibat pandemik COVID-19.

Tuanku Pemangku Raja Perlis juga berkenan merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perlis Musim Haji Tahun 1444 Hijrah, bersamaan 2023 Masihi, yang diadakan di Dewan Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra, semalam.

Sebanyak 370 orang bakal jemaah haji terpilih dari negeri Perlis mengikuti kursus ini sebagai persiapan terakhir sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Pengarah Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman.

Mengakhiri titahnya,

Kepada semua bakal jemaah Dhuyufurrahman pada tahun ini, semoga semuanya akan selamat sampai ke Tanah Suci dan pulang ke tanah air membawa haji yang mabrur, Insya-Allah.

Tuanku Pemangku Raja Perlis bersama-sama bakal jemaah haji.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.