Oleh Syaza Wardina
18 April 2023, 22:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Setiap kariah masjid di Perlis digalakkan melaksanakan Solat Sunat Aidilfitri di tanah lapang (musala) yang diselaraskan pada pukul 8.00 pagi seperti pelaksanaan pada tahun sebelum ini, tertakluk pada ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing.

Walau bagaimanapun, pihak jawatankuasa kariah masjid boleh mempertimbangkan penggunaan ruang di dalam masjid sekiranya terdapat keperluan, bergantung pada ruang dan bilangan jemaah yang hadir.

Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, “Bagi pelaksanaan Solat Sunat Aidilfitri selain musala yang ditentukan oleh pihak jawatankuasa kariah seperti surau rasmi dalam Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada jawatankuasa kariah masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).”

“Dalam keadaan cuaca yang tidak sesuai, Solat Sunat Aidilfitri akan dilaksanakan di ruang di dalam masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi.

Solat Sunat Aidilfitri di Perlis boleh dilaksanakan di ruang masjid sekiranya cuaca tidak sesuai.

“Hebahan berkaitan dengan perubahan lokasi dari musala ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh jawatankuasa kariah masjid pada pukul 7.45 pagi,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin lagi, para jemaah digalakkan memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri sebagai langkah keselamatan berikutan berlaku peningkatan jumlah kes COVID-19.

“Pengurusan masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan dengan pelaksanaan Solat Sunat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titahnya.

Sementara itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan rakyat agar menggunakan kesempatan Aidilfitri untuk bermuhasabah diri, memperbanyak istighfar serta menghiasinya dengan takbir, tahmid dan tahlil sebagai perlambangan kesyukuran atas limpah kurnia dan rahmat Allah SWT.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.