18 April 2023, 11:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Banting – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2022 mencatatkan pencapaian yang baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) meningkat sebanyak 0.02 peratus, iaitu 3.13 berbanding dengan 3.15 pada tahun 2021.

Sementara itu, Gred Purata STAM tahun 2022 bagi sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pula adalah pada nilai 2.91 berbanding dengan 2.92 pada tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 0.01 peratus.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek mengumumkan hal tersebut dalam majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STAM Tahun 2022 di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah (SAMTTAR), Banting, pada pagi tadi.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek ketika mengumumkan pencapaian keputusan peperiksaan STAM di SMATTAR.

Menurut beliau, sebanyak 4634 orang calon peperiksaan telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM bagi tahun 2022, iaitu 1363 orang calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, 1941 orang calon Sekolah Menengah Agama Negeri, 259 orang calon Sekolah Menengah Agama Rakyat, 36 orang calon Sekolah Menengah Swasta, dan 1035 orang calon persendirian.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4453 orang calon hadir menduduki peperiksaan STAM tahun 2022 di 134 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

“Pencapaian peperiksaan STAM bagi sekolah KPM telah menunjukkan kualiti yang lebih baik.

“Saya percaya kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih semua pihak dalam meningkatkan kualiti pengajaran guru, penyediaan kemudahan bilik darjah yang kondusif, bekalan buku teks dan keperluan lain yang menyokong proses pembelajaran murid,” ujar beliau.

Sehubungan dengan itu, YB Fadhlina berkata, beliau amat menyokong dan menggalakkan murid yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di Timur Tengah, khususnya di al-Azhar al-Sharif di Mesir mahupun universiti tempatan untuk meneruskan hasrat masing-masing tanpa rasa ragu kerana hala tuju dan laluan masa hadapan yang cerah sedia menanti.

Sesi bergambar YB Fadhlina Sidek bersama-sama barisan pentadbir sekolah, pegawai KPM dan calon STAM 2022.

Tambahnya, sijil peperiksaan STAM bukan sahaja diiktiraf untuk kemasukan ke program Ijazah Pertama di Universiti al-Azhar al-Sharif, tetapi juga untuk kemasukan ke universiti tempatan, malah Sijil STAM turut mendapat pengiktirafan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), iaitu setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Hal ini bermakna, pemegang sijil STAM juga layak untuk memasuki pekerjaan dalam sektor perkhidmatan awam seperti pemegang sijil STPM,” katanya.

Pada majlis yang sama turut diumumkan dua orang pelajar cemerlang SAMTTAR, iaitu Muhammad Zaurein Rosman dan Muhammad Shahrul Nizam Mustapha yang memperoleh keputusan Mumtaz Sofi, iaitu Mumtaz dalam semua 10 mata pelajaran yang diambil.

YB Fadhlina merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon peperiksaan STAM tahun 2022 atas pencapaian yang diperoleh, serta penghargaan buat barisan pendidik dan para petugas peperiksaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.