11 April 2023, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur  – Program World Quran Hour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sekali lagi bakal berlangsung pada tahun ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak sebagai lokasi perdananya dengan mengangkat Surah al-Insan.

Pemilihan Surah al-Insan pada tahun ini adalah bertujuan untuk memanusiakan ummah dengan 11 karakter insan al-Abrar atau dalam bahasa Melayunya, berkebajikan.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Tuan Haji Ahmad Yani Abd Manaf berkata, program yang telah diadakan sejak tahun 2015 ini adalah untuk mengajak orang ramai berinteraksi dengan al-Quran.

“Kami ingin mengajak orang ramai untuk lebih dekat dengan al-Quran melalui baca, faham dan amalkan, mengambil nilai daripada surah-surah yang ada dalam al-Quran dan melahirkan legasi yang mempunyai sistem nilai berasakan al-Quran dalam hidupnya,” katanya ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM).

Menurut beliau, Surah al-Insan mengajar beberapa perkara, iaitu membetulkan kerangka fikir agar menyedari kita merupakan hamba Allah, mengajar membetulkan sistem operasi diri dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup dan mengajar kita bahawa sebenarnya banyak rahmat Allah SWT yang boleh disyukuri di sebalik setiap kesukaran yang dihadapi.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Tuan Haji Ahmad Yani Abd Manaf ketika bersiaran dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

“Program yang berlangsung pada 13 April selama sejam ini akan merangkumi tiga hak al-Quran, iaitu membaca, memahami dan mengamalkan yang merangkumi sesi bacaan daripada barisan qari dalam dan luar negara, sesi tadabur dan sesi terakhir, resolusi program,” jelasnya.

Katanya, program ini juga selari dengan agenda Malaysia Madani, iaitu dengan memanusiakan ummah agar mereka mempunyai sistem operasi hidup yang betul berlandaskan al-Quran.

Beliau juga menyeru dan mengajak masyarakat untuk sama-sama memeriahkan program ini sama ada di lokasi perdana penganjuran program ataupun di tempat masing-masing pada hari Khamis ini selama sejam

Pada tahun ini, program ini diadakan dengan kerjasama Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media seperti Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani, TV9 dan TV Al-Hijrah.

Sumber gambar: Perbadanan Perpustakan Awam Selangor

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.