Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dalam mana-mana institusi, setiap individu mempunyai peranan yang sama penting tanpa mengira jawatan kerana Islam mengajar umatnya bahawa setiap individu merupakan pemimpin yang dipertanggungjawabkan terhadap tugas dan siapa yang dipimpinnya.
“Tanpa mengira pangkat dan jawatan, semuanya merupakan ‘pengurus’ penting organisasi, sesuai dengan fungsi yang telah Allah SWT tetapkan sebagai khalifah Allah, iaitu pemegang amanah Allah untuk mengurus dunia ini. Istikhlaf (penugasan sebagai khalifah) itu merupakan fungsi asas dalam hubungan kita dengan sesama manusia dan juga hubungan kita dengan semua makhluk ciptaan Allah SWT (habl min Allah),” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika mempengerusikan Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan ke-2 bagi Tahun 2023, semalam.
Menurut baginda lagi, di MAIPs khususnya, Ketua Pegawai Eksekutif dan Bahagian Pengurusan menjadi peneraju utama kepimpinan yang mengurus dan mentadbir segala sumber yang ada untuk mencapai hala tuju yang ditetapkan oleh institusi berkenaan. Para pentadbir dan Pekhidmat Majlis pula perlu menyokong dan mengurus pelaksanaan dasar yang telah ditetapkan secara bersama dalam usaha mencapai hala tuju tersebut.
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang Dipertua MAIPs yakin bahawa sekiranya semua individu dapat melaksanakan sebarang amanah pengurusan yang dipertanggungjawabkan dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira organisasi dan juga kapasiti, sudah pasti Allah SWT akan mengira semua bentuk pengurusan yang dilakukan sebagai ibadat dan pengabdian kepada-Nya.