Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Nerang – Sebanyak 60 anak yatim dan golongan asnaf yang melibatkan warga emas diraikan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) negeri Kedah dalam Program Peduli “Kami Ihsan, Kami Sayang”.
Majlis yang berlangsung di Pusat Komuniti Kampung Barohkas, Kuala Nerang, Kedah itu merupakan julung-julung kali dianjurkan oleh YADIM bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Penyelaras program, Mohd Irfan Shaffik Idris berkata bahawa usaha ini berjaya mengeratkan hubungan baik antara satu sama lain.
“Program seumpama ini dapat meringankan beban yang ditanggung oleh pengusaha rumah anak-anak yatim dan fakir miskin dalam kalangan warga emas di samping memberikan keceriaan kepada semua pihak yang terlibat dalam program ini. Secara tidak langsung, golongan tersebut dapat merasai kasih sayang anggota masyarakat serta mereka berasa lebih dihargai.”
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) daerah Padang Terap, Syed Ismail Syed Omar, Pengerusi Sukarelawan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (SAY) Pendang, Abd. Ghani Sudin dan Pengerusi Majlis Pimpinan Rakan Siswa YADIM negeri Kedah, Amirul Asyraf Ahmad Khusairi.