25 Mac 2023, 10:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sepang – Sebanyak RM200 ribu hasil sumbangan rakyat Perlis melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk membantu mangsa bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan sumbangan tersebut kepada Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), YBhg. Datuk Seri Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Tuan Haji Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

DYTM Raja Muda Perlis menyerahkan sumbangan kepada pihak Humanitarian Care Malaysia (MyCARE).

Turut mengiringi baginda pada majlis penyerahan tersebut yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor ialah Mufti Perlis, YBhg. Datuk Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor.

DYTM Raja Muda Perlis menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terlibat dalam bencana gempa bumi baru-baru ini.

Baginda berharap agar mangsa tabah menghadapi ujian tersebut, dan keadaan di Turkiye dan Syria akan segera pulih seperti sediakala.

Titah baginda,

Saya yakin semua pihak, terutamanya pemerintah tempatan sentiasa melakukan yang terbaik untuk memulihkan keadaan mangsa dan keluarga, namun amat berharap agar seluruh dunia terus membantu menghulurkan segala bantuan yang mungkin khususnya pada tempoh bulan puasa sekarang sehinggalah keadaan kembali seperti sediakala kelak.

Pada kesempatan ini juga, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Nazim mengucapkan terima kasih kepada penyumbang budiman yang memberikan kepercayaan menghulurkan sumbangan melalui MAIPs.

Jelas beliau lagi, kerjasama antara MAIPs dengan MyCARE akan sentiasa diperkukuhkan untuk menjalankan misi kemanusiaan dalam bidang yang dipersetujui bersama pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.