22 Mac 2023, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31 600 bakal jemaah bagi musim haji 1444H/2023M mulai hari ini secara berperingkat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Amrin Awaluddin berkata, bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran tersebut dalam tempoh tujuh hari bekerja melalui aplikasi THiJARI, atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH yang berdekatan.

“Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada tahun 2020, diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada tahun 2021 dan seterusnya tahun 2022 dan 2023 berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Amrin lagi, rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI pula akan dibuka mulai 27 Mac 2023 dengan memberikan keutamaan kepada rayuan mahram.

Rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI akan dibuka mulai 27 Mac 2023.

Sementara itu, pihak TH menyatakan kos haji bagi seorang jemaah muassasah dianggarkan meningkat kepada RM30 850 pada tahun ini berbanding RM28 632 pada tahun lepas.

Walau bagaimanapun, TH akan tetap meneruskan bantuan kewangan haji bersasar dan berkala untuk bakal jemaah haji muassasah pada tahun ini (1444H/2023).

Amrin berkata, kenaikan tersebut seiring dengan peningkatan kos menunaikan haji dan tidak dapat dielakkan berikutan faktor di luar kawalan TH seperti peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 15 peratus, peningkatan caj bagi perkhidmatan di Arab Saudi dan kos pasca-Covid-19, serta pembangunan di Makkah dan Madinah yang memberikan tekanan kepada kadar sewaan bangunan penginapan.

“Bantuan kewangan haji bersasar ini akan dapat mengurangkan beban kewangan TH agar dapat mencapai matlamat utamanya menyediakan kemudahan bagi umat Islam di negara ini menyimpan wang untuk tujuan mengerjakan ibadat haji di samping menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan demi kebajikan jemaah haji Malaysia,” tambah beliau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.