Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPadang Besar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan Bulan Kesedaran Berwakaf Peringkat Negeri Perlis 2023 Bukit Chabang Mari, Padang Besar, pada pagi tadi.
Program tersebut merupakan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertujuan untuk menyemarakkan budaya berwakaf dalam kalangan seluruh masyarakat, khususnya di Perlis sempena kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak tidak lama lagi.
Bulan kesedaran yang bakal disambut pada 1 Ramadan 1444 Hijrah itu seiring dengan Bulan Wakaf Peringkat Kebangsaan 2023 anjuran Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) yang turut disambut pada setiap 1 Ramadan.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Selain itu, turut hadir ialah Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Muhammad Azmir Azizan; dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.
Sementara itu, MAIPs pada ketika ini sedang giat mempromosikan Kutipan Dana Wakaf Tunai Am dan Khas untuk melaksanakan pelbagai projek meliputi segmen keagamaan, sosial, pendidikan dan ekonomi seperti Wakaf Tunai Penyelenggaraan dan Pembinaan Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam; Wakaf Tunai Pusat Rawatan Katarak MAIPs – Hospital Tuanku Fauziah (HTF); Wakaf Pusat Autisme; Wakaf Pendidikan Tinggi MAIPs – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) – Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs); Wakaf Khadamat (Wakaf Perkhidmatan); dan Wakaf Ma’ As Sabil.
Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan terus kepada MAIPs. Layari www.maips.gov.my.