18 Mac 2023, 10:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menolak dan melarang sebarang aktiviti yang menggalakkan umat Islam memasuki tempat ibadat orang bukan Islam secara terbuka untuk mempelajari agama bukan Islam tersebut.

Larangan tersebut dinyatakan berikutan wujudnya iklan dan risalah yang diedarkan melalui media sosial dan elektronik sejak beberapa hari yang lepas berkaitan dengan “Projek Artikel 11 Jom Ziarah”, program anjuran Impact Malaysia, iaitu sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Pengerusi MAIS, YAD Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, “Daripada penelitian kepada iklan dan risalah yang diedarkan, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain agama Islam.”

“Program sebegini jika dibenarkan untuk dianjurkan boleh mempengaruhi pemikiran para belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka,” jelas beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada petang 17 Mac 2023.

“Di Selangor, apa-apa program yang dibuat bagi tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung kepada agama bukan Islam atau minat kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988,” jelas beliau.

Katanya lagi, MAIS berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan negara dalam menyantuni perbezaan bangsa, budaya dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dilaporkan berkata, tiada golongan belia beragama Islam yang akan terlibat dalam program tersebut kerana program tersebut dihadkan kepada belia bukan Islam sahaja.

Walau bagaimanapun, setakat kenyataan ini dikeluarkan, pihak MAIS mendapati bahawa risalah dan iklan yang telah diedarkan masih belum dipinda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.