17 Mac 2023, 07:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Memiliki anak istimewa atau orang kurang upaya (OKU) bukan tiket untuk mengecualikan mereka dalam pendidikan agama Islam kerana Islam berhak diamalkan oleh setiap individu, bukan kepada golongan tertentu.

Ahli panel dalam program “OKU Diangkat, Islam Dimartabat” bersempena dengan Karnival Warm-Up Ramadan 3.0, Ustaz Zarifi Mohamad Daud menyatakan bahawa anak OKU bukan alasan mereka tidak mengenal agama secara total.

Barisan ahli panel dan beberapa orang hadirin bergambar selepas berakhir program “OKU Diangkat, Islam Dimartabat” yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Ustaz Zarifi yang memiliki seorang anak istimewa yang tidak boleh bercakap dan berjalan, teknik pengajaran al-Quran yang diajarkan oleh Dr. Norakyairee dan Yayasan FAQEH Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya mendidik anaknya mengenal dan menghafaz tiga surah lazim dalam al-Quran secara pendengaran.

“Anak saya, Anas boleh ‘membaca’ Surah al-Ikhlas, Surah al-Falaq dan Surah al-Nas dengan menyusun satu per satu ayat surah tersebut,” tambah beliau lagi.

Mengulas lanjut berkenaan dengan hal ini, beliau amat menggalakkan usaha dakwah kepada anak istimewa supaya mereka juga tidak tertinggal daripada mengenal tauhid dan Nabi Muhammad SAW.

Hal ini dikatakan demikian kerana beliau mengakui bahawa inisiatif dakwah kepada golongan istimewa ini kurang menyerlah sejak zaman beliau menuntut di universiti lagi.

Oleh itu, beliau amat berterima kasih kepada Yayasan FAQEH USIM kerana cakna dan terus komited dalam menyebarkan dakwah kepada anak OKU.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif D. Strike Solution, Mohd Sukur, yang juga menjadi ahli panel dalam program yang sama, bertempat di Kompleks Islam Tuanku Muhriz (KITM), USIM, baru-baru ini.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.