17 Mac 2023, 22:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Muhammad Anas Abdul Hadi dan Norsyafirah Jusoh, masing-masing muncul sebagai johan qari dan qariah pada majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perlis bagi Tahun 2023.

Muhammad Anas Abdul Hadi

Muhammad Anas memperoleh markah 94 peratus, manakala Norsyafirah memperoleh markah 90.5 peratus.

Majlis anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) itu telah diadakan selama dua hari di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan PDRM, Kangar, Perlis.

Norsyafirah Jusoh

Para pemenang bagi kategori lain dimenangi oleh Muhammad Amirul Afiq Abd Rahim (Hafazan 10 Juzuk Lelaki), Sharifah Balqis Syed Jamaluddin (Hafazan 10 Juzuk Perempuan), Muhammad Aiman Haikal Mazlan (Hafazan 20 Juzuk Lelaki), dan Nur Irdina Shahrin Zamani (Hafazan 20 Juzuk Perempuan).

Sementara itu, Muhammad Zawawi Dun pula memenangi kategori Hafazan 30 Juzuk Lelaki, manakala Kategori Hafazan 30 Juzuk Perempuan dimenangi Aishah Abdi Yonis sebagai naib johan kerana jemaah hakim memutuskan tiada peserta yang layak untuk menjadi johan.

Hadiah bagi para peserta lelaki telah disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala peserta perempuan pula disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bergambar bersama-sama para pemenang.

Terdahulu dalam titah ucapan penutupan majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs menitahkan rasa syukur kerana di negeri Perlis badan agama seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri Perlis telah berusaha untuk memastikan program pendidikan al-Quran diadakan pada semua peringkat lapisan masyarakat.

Oleh itu, baginda berharap program yang amat bermanfaat tersebut akan terus diadakan lagi pada masa-masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.