Oleh Syaza Wardina
17 Mac 2023, 19:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Inisiatif dalam mewujudkan program dan aktiviti berteraskan pendidikan al-Quran perlu dimartabatkan dalam kehidupan umat Islam, titah Tuanku Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. 

DYTM Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perlis bagi Tahun 2023 di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan PDRM, malam semalam.

Kelas pengajian seperti kelas bacaan al-Quran, tajwid, hafazan, dan tafsir perlu dipergiatkan supaya masyarakat Islam lebih terdidik untuk mencintai al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan, demikian titah baginda ketika berangkat merasmikan Majlis Penutup Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Negeri Perlis bagi Tahun 2023 anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan PDRM, malam semalam.

Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Yang Teramat Mulia Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Menteri Besar Perlis, Yang Amat Berhormat Mohd Shukri Ramli.

Titah baginda, “Al-Quran merupakan kitab suci yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia untuk dijadikan pedoman dan panduan hidup dalam kehidupan harian.”

Hal ini meliputi seluruh aspek kehidupan sama ada akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya, maka seharusnya kita sebagai hamba Allah SWT berusaha untuk mendalami isi kandungannya agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

DYTM Raja Muda Perlis bertitah, “Antara faktor utama kekuatan umat Islam ialah keteguhan dalam berpegang dan beramal dengan pedoman al-Quran, dan pendidikan yang sempurna mengenainya mampu melahirkan umat Islam yang hebat dan berdaya saing.”

“Hal yang demikian juga akan menjadi benteng dalam menyekat anasir negatif yang boleh merosakkan akidah dan prinsip agama seseorang Muslim,” titah baginda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.