23 Februari 2023, 11:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melancarkan Kalkulator Fidyah Puasa baru-baru ini bersempena dengan Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor bagi memudahkan masyarakat Islam membuat pengiraan bayaran ganti puasa.

Menurut Pengerusi MAIS, YBhg. Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Kalkulator Fidyah tersebut merupakan platform digital yang bertujuan untuk memudahkan masyarakat Islam membuat pengiraan kadar fidyah sebelum melakukan pembayaran.

Pengerusi MAIS, YBhg. Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika berucap dalam majlis Pelancaran Majlis Hi-Tea Bersama Rakan Media dan Pelancaran Kalkulator Fidyah Puasa.

Ketika berucap dalam Majlis Hi-Tea Bersama Rakan Media dan Pelancaran Kalkulator Fidyah Puasa, beliau berkata, Kalkulator Fidyah Puasa ini mempunyai tiga kadar bayaran iaitu RM2.00, RM4.00 dan RM6.00 dan mempunyai kaedah bayaran berganda dan tidak berganda. Masyarakat Islam yang ingin menggunakan Kalkulator Fidyah Puasa boleh melayari laman web MAIS.

Pihak MAIS berharap agar Kalkulator Fidyah Puasa ini dapat memberikan kemudahan baharu kepada masyarakat Islam dalam membuat pengiraan dengan pantas dan tepat bagi melakukan pembayaran fidyah yang dikenakan atas faktor tertentu.

Paparan Kalkulator Fidyah Puasa menerusi Portal Rasmi MAIS.

Sementara itu, Setiausaha MAIS, YBrs. Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar berkata, MAIS menyasarkan kutipan fidyah sebanyak RM20 juta di Selangor pada tahun ini agar lebih banyak masyarakat Islam menerima manfaat dan bantuan dalam menjalani kehidupan seharian.

“Pada tahun 2022, MAIS berjaya mengagihkan kutipan fidyah berjumlah RM6.85 juta melalui bantuan makanan kering dan wang tunai kepada golongan yang memerlukan,” tambahnya.

Beliau berkata, Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor yang bermula pada 22 Februari hingga 22 Mac 2023 mempunyai pelbagai aktiviti menarik seperti Program Hari Bersama Baitulmal; Bual Bicara di Radio Selangor FM; taklimat, tazkirah jumaat dan kuliah maghrib khas di institusi, masjid dan surau terpilih; Kaunter Pemasaran Baitulmal dan Forum Fidyah.

Tambahnya, kempen tersebut diadakan antara lain bertujuan untuk memberikan kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat Islam untuk melunaskan hutang fidyah di samping menggalakkan masyarakat Islam menggantikan puasa lebih awal sebelum tibanya Ramadan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.