18 Februari 2023, 08:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Tahun 2023 bertempat di Sekolah Kebangsaan Agama Arau telah menerima kunjungan Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena agihan peruntukan zakat untuk bantuan persekolahan MAIPs bagi tahun ini. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Muhammad Azmir Azizan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.

Agihan peruntukan zakat untuk Bantuan Persekolahan MAIPs bagi tahun ini.

Agihan peruntukan zakat berkenaan memberikan manfaat kepada 10 314 orang pelajar merangkumi 6 252 orang pelajar sekolah rendah dan 4 062 orang pelajar sekolah menengah di seluruh Perlis, dan memperlihatkan jumlah sebanyak RM7 219 800 berbanding dengan tahun sebelumnya, iaitu RM7 257 000.

Melalui kerjasama Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dengan saranan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, setiap pelajar akan menerima agihan sumbangan sebanyak RM700 di 103 buah sekolah di seluruh negeri ini, merangkumi bantuan sebanyak RM300 untuk pembelian pakaian sekolah dan alat tulis yang akan diuruskan oleh pihak sekolah, iaitu Muraqib Amil, sebanyak RM100 untuk sumbangan tunai dan sebanyak RM300 lagi untuk pelaksanaan aktiviti kecemerlangan pendidikan dan sahsiah yang akan ditadbir oleh pihak pengurusan sekolah masing-masing.

Sekitar Majlis Penyampaian Bantuan Persekolahan MAIPs Tahun 2023 yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Agama Arau.

Pada kesempatan yang sama, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis yang juga merangkap Tuanku Yang Dipertua MAIPs menitahkan ucapan terima kasih kepada pengurusan sekolah terutamanya Pengetua dan Guru Besar, barisan guru serta PIBG di seluruh Perlis yang turut sama menjayakan proses mengenal pasti dan melaksanakan agihan bantuan kepada para pelajar yang terpilih. Program berkenaan juga perlulah semata-mata untuk manfaat kepada pelajar yang terlibat sahaja.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.