Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Guru agama di negeri ini digesa agar sentiasa berusaha mempertingkat kemampuan diri untuk mempelajari ilmu hadis supaya segala maklumat yang disampaikan itu benar.
Tugas guru agama bukan sekadar mengetahui sesuatu hadis dan terus diajar kepada masyarakat sahaja, tetapi pada masa yang sama, nilailah status sesuatu hadis tersebut supaya ilmu yang diamalkan itu benar-benar daripada petunjuk Allah SWT dan rasul-Nya.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Seminar Kepentingan Menilai Status Hadis yang diadakan di Auditorium Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Seberang Ramai, Kuala Perlis.
Seminar tersebut dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).
“Melihat akan kepentingan inilah, maka Jabatan Mufti Negeri dan KUIPs serta badan-badan agama yang lain di negeri ini telah mengorak langkah menganjurkan program keagamaan seperti ini bagi menyedarkan masyarakat tentang keperluan mempelajari ilmu agama melalui sumber yang sahih,” tambah Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs.

Sesi pembentangan seminar telah disampaikan oleh Dekan Fakulti al-Quran dan Sunnah KUIPs, Profesor Madya Dr. Azwira Abdul Aziz dengan tajuk “Penilaian terhadap Matan Hadis”; Rektor KUIPs, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dengan tajuk “Penilaian Sanad dalam Menilai Status Hadis”; dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Dr. Kamilin Jamilin dengan tajuk “Ilmu al-Jarh wa al-Ta‘dil dalam Mengenal dan Menilai Perawi Hadis”. Ucaptama pula disampaikan oleh Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Bersempena dengan majlis tersebut juga, Tuanku Raja Muda Perlis berkenan melancarkan Buku Himpunan 50 Tazkirah yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri dan juga Pelancaran Tarikh Perkampungan Sunnah Siri ke 8/2023 pada penghujung Mei ini.