Diterbitkan pada 14 Februari 2023, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kaki Bukit – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru setiap individu, khususnya pekhidmat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang inginkan kelangsungan hidup yang cemerlang pada masa hadapan agar terus berusaha sedaya mungkin untuk memperkukuh tahap integriti diri dan individu di bawah tanggungjawab dan seliaan masing-masing. Baginda berharap agar organisasi tersebut akan terus berjaya serta membudayakan integriti di segenap segi kehidupan.

“Bukan mudah untuk kita membentuk diri menjadi seorang individu yang berintegriti tinggi. Namun begitu, pepatah ada mengatakan bahawa ‘kalau hendak seribu daya’, maknanya kita akan berusaha untuk mencapai sesuatu jika kita benar-benar inginkannya,” titah baginda.

Baginda memetik kata-kata cendekiawan Albert Einstein yang berbunyi, “… integrity without knowledge is weak and useless, and knowledge without integrity is dangerous and dreadful …”.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama peserta program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli di sekitar Kampung Wang Kelian.

Baginda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas berkenan berangkat mengetuai program kayuhan berbasikal MAIPs Peduli di sekitar Kampung Wang Kelian baru-baru ini. Sebanyak tiga buah rumah asnaf terpilih telah disantuni oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra untuk diserahkan sumbangan agihan zakat  MAIPs.

Menurut baginda Tuanku, MAIPs amat menghargai individu yang sentiasa bermurah hati dengan menunaikan tanggungjawab melaksanakan ibadat zakat untuk disalurkan kepada asnaf yang memerlukan bantuan di negeri ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi