Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) menganjurkan Program Dialog Fikrah KUIPs 2.0, baru-baru ini. Dengan tajuk “Wahabiah: Aliran Sesat atau Aliran Ahli Sunah Waljamaah?”, program ini menampilkan Ustaz Engku Ahmad Fadzil dan Ustaz Kiyai Nur Hidayat Muhammad sebagai wakil Ahlussunnah Waljamaah Research Group (ARG) dan Ustaz Salman Ali sebagai ahli panel ketiga, serta dipengerusikan oleh Dr. Muhammad Irwan Ariffin.

Program yang berlangsung di Dewan Banquet Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis ini dibahagikan kepada beberapa sesi, iaitu pembentangan daripada pihak ARG dan Ustaz Salman Ali, diikuti dengan sesi interogasi, bidasan, soal jawab daripada penonton, serta penggulungan daripada kedua-dua belah pihak bermula dari pukul 8.30 pagi hingga pukul 3.00 petang.

Sesi dialog yang dihadiri oleh hampir 400 tetamu ini merupakan satu daripada inisiatif KUIPs sebagai satu daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam mendepani isu berkaitan dengan amalan dan ibadat umat Islam yang berteraskan al-Quran dan sunah. Menerusi program seumpama ini secara tidak langsung dapat membantu memberikan pencerahan kepada umat Islam tentang ajaran dan amalan yang bertentangan dengan al-Quran, sunah, mazhab yang muktabar, serta pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

Program wacana ilmu seperti ini juga dapat membuka mata masyarakat tentang peranan KUIPs sebagai sebuah Institusi Pendidikan di Perlis yang membawa hasrat meningkatkan kesedaran umat Islam terhadap amalan aliran Ahli Sunah Waljamaah secara tepat dan sahih dalam melaksanakan sesuatu amalan. Bukan itu sahaja, budaya dialog seperti ini merupakan satu cabang ilmu yang positif kerana dapat memberikan manfaat kepada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia.

Barisan tetamu kehormat dan ahli panel yang hadir dalam Program Dialog Fikrah KUIPs 2.0.

Yang turut hadir pada majlis ini ialah Yang Berhormat Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis; Yang Berhormat Tuan Muhammad Azmir Azizan, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis; Sahibus Samahah, Dato’ Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis; YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan YBrs. Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.