Oleh Awza'i SM
13 Februari 2023, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejak sekian lama, sukan bola sepak yang merupakan satu daripada sukan tersohor di dunia hanya diungguli oleh negara Barat dan Amerika Tengah, terutamanya negara bukan Islam. Di benua Asia pula, kini Saudi dan Iran cuba mendaki anak tangga. Malaysia juga pernah pada suatu masa, menduduki tempat ke-76 dalam carta kedudukan bola sepak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Kini, daripada kedudukan ke-154, Harimau Malaya mula menginjak naik sedikit demi sedikit demi mendapatkan kedudukan yang lebih baik.

Pada tahun 2009, FIFA telah menjemput negara yang berminat untuk membuat bidaan bagi menjadi tuan rumah dalam kejohanan Piala Dunia. Dunia seakan-akan tidak percaya, Rusia yang pada ketika itu mulai mempunyai masalah politik dengan Ukraine, menang bida untuk penganjuran kejohanan Piala Dunia FIFA bagi tahun 2018. Sekali lagi dunia tercengang apabila negara dari Timur Tengah, Qatar, menang bida bagi kejohanan Piala Dunia FIFA 2022 pula.

Peranan sebagai tuan rumah bagi kejohanan Piala Dunia FIFA memberikan peluang kepada sesebuah negara menjana keuntungan ekonomi.

Mengapakah negara maju berlumba-lumba untuk menjadi negara penganjur sukan bola sepak ini? Lihatlah ketika penganjuran Piala Dunia FIFA di Rusia pada tahun 2018, Rusia telah menjana keuntungan sebanyak $14 bilion, manakala Qatar pada Piala Dunia FIFA 2022 memperoleh pulangan sebanyak kira-kira $17 billion. Keuntungan yang diperoleh dijangka menjana ekonomi Qatar dan tumbuh 3.4 peratus hingga tahun 2025. Jangkaan pelawat yang akan kembali semula, dikatakan bakal mencecah sebanyak 40 juta pengunjung pada masa akan datang.

Presiden FIFA, Gianni Infantino, berani membuat kenyataan bahawa penganjuran kejohanan Piala Dunia FIFA 2022 merupakan kejayaan luar biasa dari segenap segi. Bagi Infantino, penganjuran bola sepak dunia yang pertama oleh negara Arab dan Muslim ini adalah terbaik. Runut lagu rasmi utama Piala Dunia FIFA 2022, iaitu Hayya Hayya (Better Together) serta lagu Dreamers yang turut dinyanyikan oleh penyanyi kumpulan terkenal dari Korea Selatan, BTS, iaitu Jong Kook, berjaya diterjemahkan melalui kandungan keindahan dalam kebersamaan serta semangat kesukanan yang dikongsikan antara negara di media sosial seperti YouTube dan TikTok.

Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani menyatakan bahawa Qatar bukan semata-mata ingin mengejar keuntungan, bahkan beliau membuat kenyataan, “Kami telah memenuhi janji untuk menganjurkan pertandingan yang tiada tara di sebuah negara Arab.” Jika dilihat stadium seperti Stadium Antarabangsa Khalifa dan Stadium Ikonik Lusail, infrastruktur stadium ini mendapat pujian dari sudut keselesaan ketika penonton menyaksikan perlawanan. Qatar juga berhasil menyediakan hospitaliti yang berkualiti dan pengangkutan yang efisien, contohnya seperti hotel lima bintang, kafe yang menarik serta tiket bas percuma untuk pemegang tiket Hayya.

Keramahan dan kekayaan budaya Qatar jelas tergambar apabila pengunjung dari luar negara berasa begitu teruja; mereka mencuba-cuba memakai thawb (jubah lelaki) serta kafiyya (serban merah) dan agal (lilitan hitam) sebagai menghormati budaya pakaian di Qatar. Presiden FIFA sendiri menekankan bahawa, “Hal ini sudah memadai untuk Qatar; untuk dunia mengetahui tentang mereka daripada mereka sendiri, bukan daripada orang lain.”.

Yang menarik pada kejohanan Piala Dunia FIFA kali ini, momentum sokongan umat Islam menjadi vokal; menyatu secara serentak di belakang Maghribi, apabila negara tersebut berjaya menjuarai kumpulan B dari segi mata. Maghribi kemudiannya terus-menerus mengalahkan negara pasukan gergasi; Belgium (2-0), Kanada (2-1), Sepanyol (3-0 melalui pusingan penalti), dan Portugal (1-0). Tugas yang sukar menanti, apabila Maghribi perlu menundukkan juara dunia, Perancis.

Pembukaan kota ketamadunan Islam Andalusia

Rany Jazayerli menerusi ciapan Twitternya berkata, “Kami telah menakluk Semenanjung Iberia dan kami bersedia melawan Perancis.” Hal ini membuatkan warga dunia kembali meneliti buku tarikh (sejarah). Seorang tokoh yang tidak asing dalam sejarah dunia ketika pembukaan kota ketamadunan Islam Andalusia, disebut-sebut semula. Pada sekitar tahun ke-50 hijrah, Tariq bin Ziyad lahir ke dunia. Beliau berketurunan Berber suku Ulhasa dari Afrika Utara. Mengikut catatan al-Maqqari, Raja Roderick pada ketika itu sedang berhadapan dengan pemberontakan oleh kaum Basques di utara Sepanyol. Terdapat teori secara tersirat bahawa Kerajaan Rom Byzantine juga telah menolong kaum Berber, supaya mereka dapat memiliki semula beberapa daerah Spania, seperti Kota Malaga, Cartagena dan Cordoba yang pernah menjadi milik jajahan Barat mereka.

Prestasi baik pasukan Maghribi dalam kejohanan Piala Dunia FIFA 2022 mengimbau kegemilangan tamadun Islam Andalusia.

Pada ketika itu, Tariq selaku Gabenor di Tangier merangkap Komander Ekspedisi, bersama-sama sejumlah 300 tentera Arab dan 10 ribu tentera mualaf Berber bergerak belayar merentasi Selat Tiang Hercules dari pelabuhan Kota Ceuta ke arah Bebatuan Calpe, kemudian mendarat di Kota Cartagena. Kata-kata Tariq yang masyhur dicatat oleh sejarawan al-Idrisi − kisah yang masyhur, Tariq membakar kapal yang digunakan untuk menyeberang. Katanya, “Wahai pahlawanku, di manakah tempat untuk kalian berundur? Laut di belakang kamu, dan musuh berada di depan kamu. Aku bersumpah dengan nama Tuhan, yang tinggal pada kamu hanya kejujuran dan kesabaran.” Askar yang sedikit gementar menjadi tenang. Semangat mulai bersemarak mengisi jasad saat mendengar ucapan komander Tariq bin Ziyad.

Pada 19 Julai, 711 Masihi, Tariq dan laskarnya mara dari Kota Cartagena menuju Kota Cordoba, merempuh musuh yang cuba menyekat kemaraan tentera Islam Umaiyah. Mereka bertemu di Shedunya, medan pertempuran utama Perang Guadaleta. Sebanyak 100 ribu soldadu di bawah tentera Visigoth Raja Roderick bergerak secara en masse (bersekali) dalam garisan. Sementara itu, sebanyak 12 ribu soldadu di bawah pimpinan Tariq menggunakan serangan strategi langgar lari (hit and run). Pasukan sayap berkuda yang berpaling tadah membuka bukaan untuk tentera Islam masuk merempuh barisan askar musuh, lalu tewaslah Raja Kristian Visigoth Roderick. Kerajaan Muslim telah berjaya menawan Semenanjung Iberia. Mereka meneruskan misi futuh (pembukaan) kota-kota, dari bandar Cordoba, Murcia, Saragossa dan kota terakhir, Toledo. Hal ini seperti kejayaan Pasukan Maghribi yang berjaya mencipta kejayaan di dalam Piala Dunia sehingga berjaya menumpaskan Sepanyol dan Portugal.

Sejarah Perang Tours

Takdir menemukan Maghribi dan Perancis di perlawanan peringkat separuh akhir Piala Dunia FIFA 2022. Mengimbas kembali sejarah Perang Tours yang meletus pada 10 Oktober 732, siri penaklukan tentera Umaiyah yang diketuai oleh Komander Abdul Rahman bin Abdullah al-Ghafiqi ke utara Iberia tiba-tiba terhenti. Mereka terhalang oleh ketumbukan tentera Frankish dan Burgundia yang berpadu tenaga di bawah pimpinan Charles Martel yang telah bersedia lama mengatur strategi. Tentera Frankish membentuk formasi Phalanx bagi menampan serangan.

Selepas tujuh hari permainan menunggu (waiting game), al-Ghafiqi dan tenteranya yang berbaju nipis, tidak betah lagi menahan kesejukan musim sejuk, menerpa ke arah perbukitan musuh. Kelemahan strategi di pihak Umaiyah, dan kegopohan untuk menjarah Kota Tours; mengunci kekalahan pada pihak tentera Islam Umaiyah. Para sejarawan abad ke-18 dan abad ke-19 membuat kesimpulan bahawa peristiwa ini merupakan titik peralihan (turning point) agama Kristian Katolik Islam yang berjaya menyekat kemaraan pengaruh Muslim ke dunia Eropah pada Zaman Pertengahan atau Zaman Gelap.

Pasukan Maghribi yang diketuai oleh Walid Regragui sememangnya berani dan cerdas meneliti. Bendera Maghribi dan Palestin berkibar tinggi. Namun begitu, jurang tinggi perbezaan kemahiran dan pengalaman belum cukup ampuh untuk menewaskan Perancis. Pasukan Les Blues membelasah Maghribi 2-0 sekali gus membenam mimpi dan angan-angan mereka untuk menjulang Piala Dunia.

Namun demikian, keputusan tersebut ternyata tidak melemahkan semangat The Atlas Lions. Sekembalinya mereka ke Maghribi, Raja Mohammed VI di Rabat telah menganugerahkan pingat Wissam (diraja) kepada semua pemain dan jurulatih Maghribi. Rakyat Maghribi serta seantero umat Islam memuji keindahan akhlak dan mutu persembahan yang sememangya jarang-jarang dilihat. Pemain tengah Maghribi, Sofyan Amrabat telah membuat ciapan di akaun Twitternya dengan menyatakan bahawa prestasi pasukan negaranya yang berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia Qatar 2022 telah menyatukan dunia Arab.

Maghribi turut mendapat peluang untuk menganjurkan Kejohanan Kelab Piala Dunia 2022 pada 1 hingga 11 Februari 2023 yang lalu. Selepas tragedi pengusiran Reconquista pada tahun 1492, kebanyakan daripada penduduk Islam Andalusia yang digelar Morisco telah lari menyelamatkan iman ke kawasan Afrika Utara seperti Maghribi, Algeria dan Tunisia. Jika Tuhan mengizinkan sejarah berulang kembali, semoga keindahan tamadun Islam Andalusia segar dan berputik semula.

 

Kredit Foto: MarenWischnewski, Frozenbunn, Boris Ulzibat, kevinjeon00/Canva
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.