Diterbitkan pada 12 Februari 2023, 13:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pentingnya seorang wanita untuk mempunyai kredibiliti dan personaliti yang akan meletakkan mereka sebagai seorang yang akan menjadi rujukan kepada masyarakat jika adab dan sopan itu dijaga oleh umm al-mukminin.”

Demikian yang disampaikan oleh YBrs. Profesor Dr. Solehah Yaacob, dalam kuliah “Wanita Pembina Ummah: Pengalaman Ummahatul Mukminin dan Cabaran Kini” melalui program Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA), yang bertempat di kediaman YM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Kuala Lumpur, pada 11 Februari 2023.

Wanita Pembina Ummah merupakan kuliah yang memfokuskan umm al-mukminin yang menjadi pemangkin kepada pemikiran jati diri manusia. Pada sesi kuliah tersebut, YBrs. Profesor Dr. Solehah memaparkan tiga tokoh terkenal wanita hebat sepanjang zaman, antaranya termasuklah Fatimah al-Fihri yang digelar sebagai ibu intelektual Maghribi, Zubaidah Ja’far al-Mansur dan Siti Zubaidah Puteri Melayu-Champa yang digelar sebagai wanita besi.

Kuliah ini juga turut berkongsi tentang kerajaan Champa-Melayu yang meninggalkan kesan dan bukti sejarah pada catatan Inggeris yang menulis tentang Funan, Champa dan Langkasuka melalui sebutan dan penggunaan bahasa. Melalui perkongsian ini, YBrs. Profesor Dr. Solehah turut berhasrat,

Melalui bahasa, kita mampu mengenal asal usul kita dan diharapkan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dapat mewujudkan daftar kata bagi perkataan Champa-Melayu kepada Melayu moden. Negara kita mempunyai kekayaan bahasa dan hasil bumi yang menjadi sasaran penjajah suatu masa dahulu. Sayang rasanya jika perkara ini tidak dipelihara dan dikembangkan kepada masyarakat.

Sekitar program Persatuan Kemajuan Wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA) yang bertempat di kediaman YM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

PUSPA ditubuhkan antara lain untuk menyusun kegiatan bagi kemajuan wanita Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor melalui sesi ceramah bersifat akademik dan menjalankan pelbagai aktiviti yang bersifat pendidikan dan hubungan silaturahim dengan institusi kerajaan, swasta dan masyarakat.

Menurut Presiden PUSPA, Prof. Dr. Azizah Hamzah, PUSPA akan merangka dan melaksanakan pelbagai kerja amal dengan jayanya seperti tahun-tahun pra-COVID-19. PUSPA mengharapkan tahun baharu 2023 akan meningkatkan semangat ahlinya untuk menggalas amanah dan tanggungjawab dengan lebih berdedikasi dan meningkatkan pencapaian aktiviti amal PUSPA. PUSPA juga akan memperkukuh konsep sukarelawan dan pertubuhan sosial dengan meningkatkan pelibatan komuniti dalam usaha membantu golongan muda dan golongan yang memerlukan terutamanya di sekolah-sekolah di Kelantan seperti melalui program anak angkat dan aktiviti pendidikan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi