4 Februari 2023, 11:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Khalipulizan Mansur telah mewakafkan dua unit mesin dialisis berjumlah RM80 000 kepada Pusat Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Khalipulizan Mansur yang berkhidmat sebagai pekerja pembersihan di pusat perkhidmatan dialisis berkenaan telah menyumbangkan hasil jualan tanah yang dihibahkan kepadanya oleh datuk dan neneknya yang sudah meninggal untuk menambah dana saham akhiratnya selain memberikan peluang kepada para pesakit untuk menerima rawatan di pusat perkhidmatan dialisis tersebut.

Bagi menghargai sumbangan tersebut, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah mengadakan majlis penghargaan yang telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena dengan Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Kali ke-11 bagi tahun 2023 di Masjid Al-Ghufran, Batu Dua Lama, Kangar.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli berangkat menghadiri majlis penghargaan buat Khalipulizan Mansur yang dianjurkan oleh MAIPs.

DYTM Raja Muda Perlis kemudiannya berkenan berangkat singgah di tiga buah rumah asnaf terpilih dalam kariah berdekatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor menyatakan bahawa semangat yang ditunjukkan oleh Khalipulizan Mansur ini perlu dicontohi oleh masyarakat dalam menyuburkan amalan berwakaf dalam kehidupan.

MAIPs amat berbangga dan menghargai sumbangan wakaf yang telah disumbangkan ini sekali gus dapat menyuntik semangat MAIPs dalam merealisasikan pelbagai projek inisiatif wakaf di negeri Perlis seperti Bangunan Wakaf Pusat Perkhidmatan Dialisis HTF-MAIPs.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Hartanah dan Mal MAIPs, Encik Mohd Nazri Md Rejab berkata, “Untuk perancangan pada masa hadapan, MAIPs sedang mengusahakan peluang dana wakaf bagi mewujudkan sebuah Pusat Rawatan Katarak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan HTF selain melaksanakan projek wakaf Pusat Autisme dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Untuk makluman, masyarakat yang berhasrat untuk melaksanakan ibadah berwakaf melalui MAIPs boleh berbuat demikian melalui sumbangan terus ke Dana Wakaf Tunai Am MAIPs sama ada menerusi sumbangan sekali beri (one-off) atau melalui potongan gaji bulanan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman sesawang MAIPs.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.