31 Januari 2023, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjadi Majlis Agama Islam pertama yang dianugerahkan “Anugerah Presiden” bersempena dengan Majlis Anugerah Perancangan Cemerlang daripada Institut Perancang Bandar Malaysia (MIP) baru-baru ini.

Anugerah tersebut diberikan melalui inisiatif Projek DiRaja Program Transformasi Kampung Nelayan Warna-warni Seberang Ramai Kuala Perlis apabila projek tersebut telah dinobatkan sebagai “Projek Transformasi Berimpak Tinggi dan Pemerdayaan Komuniti”.

Usaha murni tersebut telah dijayakan oleh pihak MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan juga pelbagai agensi negeri dan persekutuan, pihak swasta serta individu perseorangan termasuklah anggota masyarakat setempat

Simbolik penyerahan trofi dan sijil anugerah berkenaan telah dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang Dipertua MAIPs dan juga merangkap Pengerusi YTSP Perlis sebelum Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bilangan Pertama bagi Tahun 2023 diadakan di Kompleks Islam Perlis, Kangar pada semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempengerusikan Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bilangan Pertama bagi Tahun 2023.

Trofi dan sijil tersebut dipersembahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor yang telah hadir menerima anugerah berkenaan bagi pihak MAIPs dalam satu majlis gilang-gemilang yang diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Mohd Nazim, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan yang amat bermakna atas inisiatif dan teraju Tuanku Raja Muda Perlis dan juga puteri sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail yang sentiasa komited bagi memastikan Projek DiRaja berkenaan menjadi kenyataan dan sentiasa ditambah baik demi untuk kesejahteraan hidup masyarakat setempat.

Pada kesempatan yang sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama MAIPs dan YTSP Perlis secara langsung mahupun tidak langsung, khususnya kepada para penaja dan juga masyarakat setempat dan berharap sokongan padu tersebut akan berterusan pada masa hadapan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.